Krisis air Klang, penduduk terpaksa cari air di longkang besar


Penduduk yang terjejas mula mencari air di longkang besar dekat Meru - Gambar Twitter


By Nadhirah Sofea Rashid

Penduduk Klang sahaja yang tahu betapa peritnya ketiadaan air di saat-saat genting seperti di bulan Ramadhan ini. 

Ketiadaan air yang merupakan asas penting dalam kehidupan amat menjejaskan kehidupan seharian penduduk Klang.

Semalam, tular di media sosial apabila penduduk Meru, Klang, mengambil air dan mandi di longkang besar, akibat terdesak tidak mempunyai air sejak Sabtu lepas.


Buat yang tidak tahu, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor, punca ketiadaan air ini adalah disebabkan paip utama yang pecah di tapak projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping di Klang.

"Bagaimanapun berdasarkan siasatan awal, kegagalan struktur tembok 'Reinforced Soil Wall' di jajaran WCE dipengaruhi oleh faktor-faktor perubahan sifat tanah di kawasan terlibat dan tidak berkaitan dengan rekabentuk dan pembinaan WCE," menurut kenyataan itu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam sebuah kenyataan media pada Mei 7 memberitahu bahawa gangguan bekalan air di kawasan-kawasan yang terlibat akan pulih secara berperingkat dalam 24 jam.

Tetapi ia tidak berlaku dan Amirudin dikecam di media sosial kerana memberi janji yang tidak dapat dilaksanakan.  

Syarikat Bekalan Air Selangor juga memberitahu akan meneruskan pergerakan lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas sehingga bekalan pulih sepenuhnya. 

Sementara itu, tinjauan di sosial media mendapati ramai penduduk Klang masih terjejas akibat ketiadaan air.


Tidak dinafikan memang susah untuk menjalani kehidupan seperti biasa apabila ketiadaan air. 

Ditambah lagi dengan bulan Ramadhan yang memerlukan rata-rata masyarakat untuk membuat persiapan.

Apa-apa pun krisis air di Klang ini adalah satu kejadian yang tidak disangkakan. 

Semoga kerja-kerja pembaik pulih segera disiapkan dan penduduk diharap tabah menghadapi dugaan ini. 

Syabas telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua kawasan akan mendapat bekalan air sepenuhnya bermula hari ini dan paling lewat esok.