Pelajar Malaysia terima pengiktirafan tertinggi di Pennsylvania State University


Muhamad Saiful Hakimi dengan ibu bapanya - Gambar Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Merangkul pengiktirafan tertinggi di sesebuah universiti menjadi impian semua pelajar. 

Apatah lagi jika berjaya merangkul pengiktirafan ini di sebuah universiti antarabangsa terkenal.

Bukan sahaja dapat membuktikan kebolehan diri, malah mengharumkan nama negara ke persada dunia. 

Itulah dia, Muhamad Saiful Hakimi Daud, 24, seorang pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima pengiktirafan tertinggi dalam bidan kejuruteraan di Pennyslvania State University, Amerika Syarikat.

JPA dalam satu kenyataan memberitahu Saiful telah dianugerahkan Marshal Kehormat Kejuruteraan College of Earth and Mineral Sciences, di Pegula Ice Arena pada Mei 3.

"Beliau merupakan pelajar Malaysia yang pertama dipilih untuk menerima anugerah itu dengan skor penuh Purata Nilai Gred Kumulatiff (PGNK) 4.0," katanya.

JPA berkata wakil Pennsylvania State University telah memuji Saiful atas pencapaian akademiknya, serta kemahiran kepimpinan yang tinggi.

Bapa kepada Saiful, Daud Ahmad menzahirkan rasa bangga dan terkejut di atas anugerah yang berjaya dirangkul anaknya itu.

Menceritakan lanjut mengenai kejayaan anaknya itu, Daud, 68, berkata, minat Saiful dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas bermula sejak anak ketiganya Nur Safinaz, 35, bekerja dalam bidang berkenaan.

“Sejak itu, dia sering bertanyakan hal berkaitan minyak dan gas pada kakaknya serta seorang lagi sepupunya yang turut bertugas dalam bidang yang sama setiap kali mereka berjumpa.

“Saya juga bersyukur potensinya terus digilap apabila dia memasuki Kolej Yayasan Saad Melaka di Durian Tunggal sebelum menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi dan seterusnya ke Pennsylvania State University,” katanya yang juga berada Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Daud turut mengakui bahawa Saiful merupakan anak yang rajin dan tidak pernah kenal erti putus asa terutamanya dalam pelajaran. 

Semoga kejayaan Saiful memberi inspirasi kepada anak-anak muda Malaysia untuk berusaha tanpa berputus asa!