Pakar UK sedia rawat Ainul - Dr Amalina Bakri


Dr Amalina kini berkhidmat di sebuah hospital di UK


By Nadhirah Sofea Rashid

Seolah-olah seperti mendapat sinar harapan yang baru buat pasangan suami isteri ini apabila Dr Nur Amalina Bakri berhasrat membantu merawat anak perempuannya yang menghidap kanser 'germ cell tumor'.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa kepada bayi Ainul Mardiah yang baru berumur lapan bulan, berkongsi berita baik itu di Facebooknya.

Buat mereka yang tidak mengenali Dr Amalina, beliau pernah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang dengan memperoleh keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM pada tahun 2004.

Beliau juga pernah dikritik dengan penampilannya yang sudah lagi tidak bertudung selepas melanjutkan pelajaran ke UK. 

Walaubagaimana pun, perkara itu tidak menghalang Dr Amalina daripada tersenarai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di United Kingdom.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan untuk membawa Ainul ke London. 

Rata-rata netizen memanjatkan doa agar urusan membawa dan merawat bayi itu berjalan lancar.

Walaubagaimana pun, ada seorang netizen beranggapan bahawa Dr Amalina sepatutnya pulang ke Malaysia sekiranya ingin membantu Ainul.


Komen tersebut dibidas netizen yang lain dimana rata-rata mereka percaya doktor-doktor pakar di UK lebih berpengalaman dan alatan yang digunakan lebih canggih. 


Ainul Mardiah dilahirkan pra-matang pada hanya tujuh bulan dan menghidapi kanser sejak lahir di Hospital Melaka. 

Dia dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulut ketika berusia 10 hari.

Bagaimanapun pada Oktober lalu, mereka dimaklumkan ada ketumbuhan baharu di bahagian leher bayi itu sebelum disarankan menjalani kemoterapi pada Disember.

Sebelum ini, rakaman video Ainul Mardhiah yang mengalami ketumbuhan seberat 1.2 kilogram pada bahagian mulut, tular dalam laman sosial.