Kempen #singgit.je bantu pelajar miskin UiTM



By Rasyidah Zulkifli

Ramai pelajar yang mungkin pandang remeh nilai RM1 tetapi ia amat bermakna bagi sesetengah pelajar terutamanya di bulan Ramadan ini. 

Untuk pelajar UiTM yang kurang berkemampuan, nilainya amat besar kerana sekurang-kurangnya mereka boleh membeli tiga ketul kuih untuk RM1 seperti yang dijual di Dataran Cendekia di kampus Shah Alam.

Oleh yang demikian, kita seharusnya bersyukur kerana masih ada lagi pelajar universiti yang menghargai nilai sekeping not biru itu.

Ketahuilah, RM1 inilah yang mampu menyumbang pahala besar kepada warga UiTM sendiri dalam mengimarahkan bulan Ramadan kali ini.

Pendekatan RM1 ini diambil oleh pensyarah Masscomm UiTM atas pelaksanaan projek singgit.je seperti yang tular di media sosial.

Netizen yang aktif Instagram boleh menunjukkan tanda sokongan padu kepada pensyarah senior ini dengan mengikuti beliau di akaun IG tersebut.

Bayangkan, besar sungguh pahala seandai pelajar dan pensyarah mampu sedekah RM1 setiap hari bagi menyokong projek amal singgit.je ini.

Menurut Khairun Nizam Mohammad Yusuff, beliau jarang menerima sedekah daripada pelajar atau pensyarah dengan hanya nilai seringgit.

‘Paling rendah yang saya pernah terima RM5 dan paling banyak RM100’, katanya.

Selain itu, terdapat jua cara lain untuk bersedekah iaitu dengan menyalurkan bantuan hanya melalui transaksi atas talian.

Projek ini berlangsung sepanjang sebulan puasa bertujuan untuk memberi makan kepada pelajar miskin UiTM hasil wang kutipan sedekah itu.

Aktiviti ini memakan masa singkat dengan sesi pengagihan makanan bermula pada pukul 5.30 petang untuk sejam.

Sejam setiap hari Isnin hingga Jumaat ini dilihat dapat membantu pelajar miskin yang ada masalah kewangan, untuk berbuka dengan juadah lazat lagi percuma ini.

Berbekalkan tema RM1, pemilik akaun Instagram singgit.je menggalakkan warga UiTM Selangor ini untuk rajin bersedekah.