Cabul dan liwat, warden tahfiz diburu polis!


Pelajar tersebut memaklumkan perbuatan jijik itu kepada gurunya. -Gambar (sebagai hiasan) dari google


By Huzraifah Atikah

Terdapat ramai pelajar yang telah menjadi mangsa kepada warden yang tidak bertanggungjawab. 

Baru-baru ini, dua pelajar tahfiz lelaki berusia 15 dan sembilan mendakwa diliwat, manakala tiga lagi mendakwa dicabul oleh warden asrama mereka di sebuah pusat tahfiz di Kangar, Perlis. 

Menurut Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohd, seorang guru berusia 25 tahun di pusat tahfiz berkenaan tampil membuat laporan kira-kira jam 11 pagi semalam di Balai Polis Simpang Empat. 

Guru tersebut berbuat demikian selepas seorang mangsa mengadu kepadanya.

Dia berkata mangsa dipaksa melakukan seks oral kepada warden lelaki berkenaan berulang kali. 

Selain itu, mereka juga dipaksa menonton video lucah bersama di bilik suspek tersebut.


Guru pusat tahfiz itu berkata mangsa berusia 15 tahun itu berjumpa dengannya di pejabat pentadbiran sekolah pada April 24 lalu dan mengadu mengenai perbuatan suspek itu di bilik warden sejak awal April.

Kedua-dua mangsa juga sering diugut pukul oleh suspek agar tidak memaklumkan perbuatan jijik tersebut kepada sesiapa pun. 

Namun kerana tidak tahan sering diperlakukan demikian, ia menyebabkan mereka akhirnya mengumpul keberanian dan bertindak melaporkan perkara terkutuk itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak sekolah mendapati empat lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan hingga 12 tahun turut menjadi mangsa apabila sering dipaksa melakukan seks oral dalam beberapa kejadian yang berasingan," kata Mushar.

"Suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an. Polis kini sedang giat mengesan suspek yang dipercayai telah melarikan diri selepas mengetahui perbuatannya diketahui pihak pengurusan tahfiz,” katanya lagi. 

Mushar juga berkata kes ini disiasat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Semoga pihak polis dapat menahan suspek dengan segera agar keadilan dapat dituntut oleh keluarga mangsa.