5 Tip Fesyen Untuk Wanita Berhijab Tampil Stailo Di Pejabat!


Fesyen wanita muslimah


By ienaeliena

Sebagai wanita muslimah bekerjaya, penampilan juga merupakan salah satu aspek penting yang menggambarkan personaliti seseorang. Namun, bagi wanita berhijab, pemilihan pakaian yang sesuai harus dititikberatkan agar dapat tampil sopan dan sempurna dengan rekaan yang elegan serta mempersona.

Seiring dengan perkembangan trend fesyen terkini, pelbagai busana dan pakaian yang boleh digayakan untuk ke pejabat khususnya bagi wanita muslimah. Biarpun sesetengah gaya nampak sederhana, namun tumpuan diberikan lebih kepada gaya keseluruhan yang mampu menyerlahkan karakter wanita muslimah yang anggun. Ikuti tip berguna di bawah agar penampilan muslimah anda lebih menawan dan menyerlah.


1. KENALI TUBUH ANDA

Perkara utama yang harus diberi perhatian adalah mengenali bentuk tubuh anda sendiri. Anda dinasihatkan supaya memilih pakaian yang selesa untuk dipakai dan tidak terlalu menonjolkan bentuk tubuh badan anda. Pastikan pakaian yang anda gayakan sesuai dengan ketinggian dan bentuk tubuh anda.

2. TENTUKAN JENIS PAKAIAN

Pemilihan jenis pakaian yang sesuai merupakan aspek penting mengikut profesion masing-masing. Gunakan garis panduan pemakaian yang disediakan supaya anda boleh membuat keputusan yang betul dalam memilih pakaian. Antara pilihan jenis pakaian yang sesuai ialah baju kurung, kemeja bersama blazer, jumpsuit dan lain-lain.

3. PILIH SAIZ PAKAIAN YANG TEPAT

Elakkan memakai pakaian yang mengikut bentuk tubuh badan anda. Pemilihan saiz baju yang betul dan tepat akan memberikan imej profesional dan juga selesa ketika di pejabat. Sekiranya anda sering mengenakan kemeja dan seluar slack atau long pants, pastikan baju kemeja anda itu tidak terlalu singkat sehingga menampakkan badan anda dan seeloknya anda gayakan kemeja di paras atas paha.


4. PILIH PADANAN RONA YANG SESUAI

Dari segi pemilihan warna, sebaiknya, pilih dua padanan rona yang sesuai atau paling maksimum iaitu sehingga tiga warna sahaja. Elakkan dari memilih kumpulan rona yang sama. Kumpulan warna terbahagi kepada dua iaitu rona sejuk dan rona panas. Sekiranya mempunyai corak, anda boleh suai padankan dengan rona yang terdapat dalam corak tersebut untuk membangkitkan penampilan yang lebih harmoni.

5. AKSESORI

Elakkan dari memilih tudung yang mempunyai corak yang terlalu sarat dengan hiasan manik dan labuci. Sekiranya anda memakai pakaian dengan corak kosong, pilihlah tudung yang mempunyai motif atau corak. Sekiranya anda memilih busana bermotif, anda dinasihatkan memilih tudung yang kosong dan polos. Padanan warna juga perlu diambil kira supaya warna tudung harmoni dan seimbang dengan warna busana.