“Sebelum pergi sempat nyanyi lagu ‘Mari Sembahyang’” – Eina Azman Kongsi Cerita Pemergian Datuk


Datin Eina Azman kongsi cerita duka kehilangan datuknya


By Syafiqah Azman

Pelakon yang kini ibu kepada sepasang anak kembar, Datin Paduka Ainur Syakina Azman atau lebih dikenali dengan panggilan Eina Azman berkongsi berita duka mengenai pemergian datuknya kerana angin ahmar baru-baru ini. 

Menerusi media sosial Instagram, Eina telah memuat naik beberapa foto serta video datuknya atau mesra dengan panggilan Aki, bersama kapsyen yang cukup menyayat hati. 


“Salam semua, dengan berat hati Eina ingin sampaikan, Aki Eina telah menghembuskan nafas terkahir malam semalam 11 May 2019. Beliau telah selamat dikebumikan pagi tadi (Ahad),” tulisnya. 

Dalam posting yang sama, Eina turut memohon orang ramai agar memberikan sedekah Al-Fatihah buat Allahyarham Haji Abdul Rafar Haji Din. 

Tambahnya lagi, akinya sempat mendendangkan lagu kegemarannya buat Eina ketika masih kecil iaitu lagu ‘Mari Sembahyang’. 

“Mari Sembahyang memang lagu kegemaran aki nyanyi untuk kami semua dan kali ni aki nyanyi buat terakhir kali,” jelasnya. 

Rata-rata netizen mendoakan yang terbaik buat keluarga Eina dan berkongsikan kisah kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka di bulan yang mulia ini. 

“Allah menjemputnya di bulan yang mulia. Semoga Allah ampuni dosa-dosanya. Dan semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman,” tulis salah seorang netizen.