Budak perempuan hampir diculik di bazar Ramadan!


Berhati-hati di bazar Ramadan


By Huzraifah Atikah

Bulan puasa ini mesti ramai yang pergi ke bazar untuk membeli pelbagai jenis juadah berbuka puasa bukan? 

Ada yang pergi seorang diri, dengan keluarga dan tidak kurang juga ibu bapa yang pergi ke bazar bersama anak-anak kecil. 

Walaupun sudah serIng terjadi dimana anak-anak kecil hilang tanpa kesan, namun masih ada juga segelintir ibu bapa yang masih tidak peka dengan persekitaran untuk mengawasi anak-anak dengan lebih ketat. 

Baru-baru ini seorang lelaki bernama Muhammad Faiz Haziq di Facebook telah berkongsi detik cemas ketika dia melihat seorang budak perempuan hampir sahaja diculik dihadapannya sewaktu berada di bazar Ramadan. 

Perkara tersebut terjadi dengan sangat pantas ketika orang ramai leka membeli makanan. Faiz berkata: 

“Salam. Mintak pesan-pesankanlah kepada ibu bapa yang bawa anak pergi ke bazar Ramadan terutamanya yang bazarnya sesak. Tolong perhatikan dan pegang anak anda sebaiknya!”

Seterusnya dia menceritakan semula perkara yang terjadi di bazar dengan berkata:

“Benda ni berlaku semalam di bazar Ramadan depan mata saya sendiri. Agak menakutkan juga benda camni. Keadaan bazar memang sesak, padat terutamanya dalam waktu hampir berbuka, dan masa tu saya sedang bersesak nak beli juadah. Depan saya ada seorang akak dengan baby (berdukung) dan anak perempuan seorang ikut belakang dia. Akak ni tangan dia dah penuh satu berdukung, satu lagi bawa makanan jadi tak dapat pegang tangan anak dia sorang lagi. So jalan la slow2 hadap jem dlm bazar ni pastu bila sampai kat persimpangan dlm bazar tu, waktu ni yang scary ni. Ada la seorang brader ni tiba-tiba potong line depan saya, then terus tarik anak perempuan akak tu nak bawa budak tu masuk simpang lain.


“Nak kira bernasib baik akak tu, brader tu terlanggar orang masa nak tarik budak tu, pastu akak tu pusing belakang, terus brader tu lepas budak tu then mencelah laju-laju belah ikut simpang lain tu. Akak tu pandang belakang tengok anak dia tak ada, toleh ke tepi baru ada. Tapi akak tu tidak tahu pun anak dia kena tarik, cuma dia pusing belakang waktu brader tu terlanggar orang, bukan masa anak dia ditarik. Nasib masa tu saya tengah pandang depan, so saya perasan. la cuma saya jadi beku jap nak proses situasi tu," kata Faiz. 

Malah, dia juga berkata jika malang tidak berbau, sudah pasti anak kecil itu menjadi mangsa penculikan. 

Nasib sahaja pada ketika itu dia tidak begitu leka dengan memandang makanan namun sedang peka dengan persekitarannya. 

Faiz juga berkata dia berniat membantu budak kecil itu jikalau betul-betul lelaki tersebut sempat melarikan budak perempuan itu. 

“Tapi buatnya saya tengah syok pandang makanan di bazar memang takkan sedar la kalo benda ni jadi. Kalo in case tidak berlanggar tu, memang saya akan cuba tolong budak tu tapi nasib baik sangat la tak sempat pape lagi budak tu dah selamat. Benda ni jadi laju gila, sampai simpang terus tarik masuk simpang tepi, si mak jalan terus tak tahu pape jadi. Nampak macam brader ni da lama perhati akak tu, tunggu masa saja nak buat kerja. Saya pon tak pasti lah apa yang berlaku, dah cuba bersangka baik tapi tetap rasa memang cubaan culik budak.

“Tuhan sahaja yang tahu niat manusia. Makanya berhati-hatilah, dalam keadaan bersesak orang dalam bazar dengan panasnya kadang kita jadi x peka. Semoga kita semua terhindar dari perkara buruk & perbuatan aniaya. InsyaAllah,” tambahannya. 

Nak pergi ke bazar boleh, tapi pastikan keselamatan sentiasa diutamakan. 

Perhatikan anak-anak anda, beringat-ingat dan sentiasa berwaspada.