Masjid mesra kanak-kanak, ibu bapa dapat solat dengan tenang


Ruangan kanak-kanak itu dijamin selamat dan selesa.


By Huzraifah Atikah

Sepanjang bulan Ramadan ni mesti ramai ibu bapa yang ingin menunaikan solat tarawih di masjid bukan?

Namun, mungkin ramai juga yang terpaksa membatalkan niat kerana bimbang anak-anak kecil terpaksa menunggu lama dan tidak ada yang memantau. 

Akan tetapi, kini di Masjid Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali Masjid Negeri, Ipoh, ibu bapa tidak lagi risau mengenai masalah ini.

Masjid Negeri Ipoh kini mempunyai ruangan khas untuk kanak-kanak bermain sementara menunggu ibu bapa mereka selesai solat tarawih. 

Imam Besar Masjid Negeri Abd Farid Salleh berkata, Inisiatif menyediakan zon kanak-kanak ini dikatakan tercetus selepas mendapati ramai kalangan jemaah yang bertarawih datang membawa bersama anak-anak kecil berusia 7 tahun ke bawah.


“Pihak jawatankuasa perlu bijak mengendalikan situasi bagaimana mahu menjadikan masjid sebagai tempat mesra kanak-kanak, satu daripada usaha kita lakukan adalah dengan menyediakan zon kanak-kanak seperti ini,” kata Imam Besar itu.

Beliau berkata, zon kanak-kanak di masjid itu menggunakan ruang bilik anjung yang baru sahaja siap diubahsuai tahun lalu dan boleh memuatkan 30 orang.


Tambahannya, buat masa ini, hanya kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun dibenarkan ditempatkan di situ bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam sementara tujuh tahun ke atas digalakkan solat bersama ibu bapa masing-masing.

“Bilik ini juga dilengkapi penyaman dingin dan antara permainan disediakan adalah lego, kapal terbang mainan, anak patung juga buku-buku aktiviti matematik, melukis dan mewarna. Hampir 90 peratus barangan mainan ini adalah hasil sumbangan orang ramai,” katanya juga.

Beliau berkata lagi, dari segi keselamatan, setiap ibu bapa yang mahu menempatkan anak mereka ketika tarawih, perlu mengisi borang pendaftaran terlebih dahulu dan mereka akan diberikan kad khas yang akan diserahkan sebaik solat selesai.

Langkah itu sebagai tanda persetujuan antara ibu bapa dan juga mengelak berlaku perkara tidak diingini sepanjang anak mereka ditinggalkan.

“Setiap malam akan ada dua kakitangan dari Pejabat Pentadbiran Masjid Negeri dan pasukan sukarelawan secara bergilir membantu memantau kanak-kanak di bilik ini.


“Sepanjang empat hari puasa ini, lebih 40 keluarga telah mendaftar, ada juga sebahagian kanak-kanak ini terlalu leka bermain hinggakan tidak mahu pulang,” katanya lagi. 

Imam Besar itu menasihati, bagi masjid-masjid lain yang tidak mempunyai ruang besar, boleh menggunakan balai lintang atau membuat pembahagian sebagai tempat khas kanak-kanak.

“Kemudahan parkir dan ruang solat di kebanyakan masjid-masjid di negeri ini sudah cukup selesa, jadi dengan adanya usaha menambah sedikit ruang untuk kanak-kanak, pasti akan memberi lebih kebaikan kepada jemaah,” katanya.

Tambahan beliau lagi tidak salah membawa anak-anak ke masjid malah ia satu perbuatan yang digalakkan.

Wah! Alangkah baiknya jika semua masjid di Malaysia macam ni. Tambah meriahlah suasana masjid lepas ni.