Kurang ajar! Sekumpulan remaja ditangkap selepas buli warga emas


Remaja tersebut membuli warga emas - Gambar Detik Berita


By Nadhirah Sofea Rashid

Pepatah yang tua dihormati, yang muda disayangi mungkin sudah tidak relevan kepada beberapa orang remaja sehingga sanggup membuli seorang warga emas. 

Sebuah video tular di Facebook memaparkan seorang lelaki warga emas dikelilingi sekumpulan remaja lelaki di Kampung Sijangkang, Selangor. 

Dalam rakaman video berdurasi seminit 42 saat itu, seorang remaja sengaja menumbangkan sebuah motosikal sehingga terkena kaki warga emas itu.

Apa yang lebih menyedihkan apabila warga emas itu kelihatan tidak berdaya dan terkial-kial untuk mengangkat motosikal.

Warga emas itu turut memberi nasihat kepada remaja lelaki itu sebelum dilempar serpihan kotak.

"Puasa kalau tak solat pun tak guna, betul tak?" soal warga emas itu.

"Janji puasa wak (pakcik), dapat pahala jugak," jawab seorang daripada remaja tersebut. 

Ketika warga emas hendak beredar, salah seorang remaja dengan biadapnya meletakkan sebuah bekas plastik ke atas kepalanya.

Di akhir rakaman video kumpulan remaja itu terus cuba untuk menakut-nakutkan dan mengejek warga emas.

Lihat video penuh di bawah. 

Video yang telah tular sejak semalam mendatangkan kemarahan ramai sehingga kesemua remaja tersebut diburu oleh penduduk kampung. 


Dilaporkan bahawa seorang ahli keluarga warga emas itu yang dikenali sebagai Leah berkata kesemua remaja terbabit dibawa ke rumah warga emas tersebut untuk memohon maaf.

Selepas memohon maaf, mereka dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. 

Ahli keluarga turut mengesahkan kes selesai apabila kesemua remaja itu dibawa ke balai.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa geram dan bengang terhadap sikap kurang ajar remaja-remaja ini.



Semoga kes ini menjadi pengajaran kepada remaja-remaja di luar sana untuk menghormati orang yang lebih tua.