Majlis tahlil di rumah penganut Kristian - ini penjelasannya.


Rupa-rupanya pemilik rumah berkenaan adalah ibu bapa kepada anak-anak yang telah memeluk Islam.


By Nadhirah Sofea Rashid

Baru-baru ini, tular di media sosial, gambar yang memaparkan sekumpulan lelaki berbaju Melayu serta berkopiah berkumpul di ruang tamu yang berlatar belakangkan tanda salib.

Individu yang memuatnaik gambar tersebut di Facebook menyatakan kumpulan lelaki itu sedang menjalankan majlis tahlil.

Gambar tersebut telah menimbulkan kekeliruan di mana ada sesetengah netizen kurang senang dan mempersoalkan tindakan mereka.

Jika anda perhatikan gambar dibawah, sememangnya tuan rumah tersebut adalah penganut Kristian.

Tidak mahu menambah kekeliruan lagi, beberapa individu menyatakan bahawa pemilik rumah berkenaan di Sabah adalah ibu bapa kepada anak-anak yang telah memeluk Islam. 

Dikhabarkan anaknya yang baru saja meninggal dunia, telah menetap di Terengganu dan sudah lama menganut agama Islam.

Dengan sifat prihatin, keluarga tersebut menjemput Muhammad Syukri Abdul Rahim, 23, dan rakannya dari Institut Pendidikan Guru di Tuaran untuk mengetuai bacaan tahlil.

"Kami dijemput untuk menjalankan majlis tahlil. Ini kerana walaupun ibu bapa mereka merupakan penganut Kristian, tetapi mereka faham kebaikan membuat majlis tahlil untuk orang yang telah meninggal dunia," ujar Syukri yang telah menetap di Sabah hampir lima tahun.

Syukri turut menambah rasa hormat kepada keluarga ini kerana masih duduk satu bumbung walaupun berlainan agama.

Muhammad Uzzair yang asalnya dari Johor berkata dia faham mengapa segelintir penduduk di Semenanjung Malaysia merasakan perkara ini sebagai sesuatu yang pelik.

"Kalau saya tak datang Sabah, saya pun akan rasa perkara ini pelik. Perbezaan agama dan bangsa bukan penghalang untuk kita berbaik sesama manusia," ujarnya.

Situasi seperti ini sememangnya pelik buat yang menetap di Semenanjung Malaysia. Namun, sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk Sarawak dan Sabah.