Kerana Zahirah Macwilson, Peminat Tolak Hisyam Hamid Ke Tepi, Apa Kes?


Sanggup tolak tepi Hisyam Hamid untuk bergambar bersama Zahirah MacWilson


By Syafiqah Azman

Kecoh di media sosial apabila sebuah video tular menunjukkan seorang lelaki menolak ke tepi pelakon Hisyam Hamid hanya gara-gara ingin bergambar bersama selebriti kesayangannya, Zahirah MacWilson. 


Video yang tular di media sosial Facebook itu mendapat pelbagai reaksi daripada warga netizen dan rata-rata menganggap bahawa lelaki tersebut kelihatan kurang sopan kerana telah memalukan Hisyam.


Tapi, jangan dengar cerita satu pihak sahaja. Video itu mungkin tidak menunjukkan situasi sebenar atau yang penuh, betul tak? 

Hisyam, 33, sendiri menjelaskan bahawa individu tersebut sudah pun memberitahunya dengan baik bahawa dia mahu bergambar berasingan bersama Zahirah MacWilson. 

“Saya langsung tak terasa hati terhadap tindakan individu tersebut. Memang pada mulanya terkejut tapi dia ada bagitau saya yang dia mahu bergambar seorang bersama Zahirah,” jelas Hisyam menerusi mStar online. 

Tambah pelakon drama Rahsia Hati Perempuan ini lagi, dia berkata bahawa individu tersebut hanya bergurau dan selepas bergambar bersama Zahirah, dia datang dan bersalaman bersama Hisyam untuk bergambar dengannya. 

“Bila saya lihat balik video tu rasa kelakar pun ada,” kata Hisyam lagi. 

Dalam pada itu, Hisyam turut memuat naik satu foto bersama Zahirah dengan kapsyen yang melucukan mengenai kejadian tersebut. 


"Bersama punca iols viral kat media sosial hari ini, benda lawak buat apa nak serious," tulisnya di kapsyen foto tersebut. 

Video viral tersebut dirakam oleh peminat ketika sesi beramah mesra bersama Zahirah dan Hisyam di Starvillion Ostia Bangi Business Avenue pada Sabtu lalu. 

Sementara itu, Hisyam turut memesan kepada warga netizen agar berhenti mengecam individu tersebut hanya kerana apa yang mereka lihat dalam video berdurasi 15 saat itu. 

Tapi bila lihat lama-lama, memang rasa kelakar pun ada. Nasib yang abang tu tolak Hisyam, kalau dia tolak Aiman Hakim? Tak ke kekok rasanya? 

Apa pun, buat warga netizen yang tidak tahu menahu tentang perkara sebenar, sudah-sudah la tu mengecam. Kesian abang tu! Sebarkan kebaikan sahaja ya di bulan Ramadhan ini?