Dimandi jenazah kerana curi tabung surau


Pencuri tersebut diikat sebelum disiram air di atas tempat mandi jenazah


By Nadhirah Sofea Rashid

Kes curi tabung masjid atau surau bukanlah kes yang jarang-jarang kita dengar.

Lebih teruk, ada yang sanggup mencuri barangan milik jemaah ketika mereka sedang menunaikan solat.

Di bulan suci ini, sepatutnya umat Islam digalakkan untuk mengimarahkan lagi suasana masjid dengan melakukan ibadah.

Namun, lain pula yang terjadi di Surau At-Taqwa, Kampung Mulia dekat Ulu Tiram, Johor ini.

Akibat tidak serik setelah lima kali didapati mencuri tabung surau, lelaki ini ditangkap, diikat serta disiram air di atas tempat mandi jenazah. 


Tindakan itu diambil oleh jawatankuasa surau terbabit untuk memberi pengajaran kepada suspek.

Timbalan Pengerusi Surau At-Taqwa Ramle Ahmat berkata kejadian pecah tabung di surau berkenaan sudah beberapa kali berlaku selain kes curi beg tangan jemaah wanita ketika sedang menunaikan solat.

“Sebenarnya kejadian pecah tabung ini sudah kali kelima berlaku di surau yang sama sejak dua tahun lalu. Suspek yang tertangkap ini juga sudah cuba masuk dan pecah tabung surau pada 10 Mei lalu.

“Kami mendapat maklumat selepas melihat CCTV dan semalam, berlaku lagi orang yang sama buat, namun berjaya ditangkap oleh orang kampung serta Ahli Jawatan Kuasa (AJK) surau,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Ismail Dollah berkata suspek ditahan orang awam pada pukul 10 pagi semalam sebelum diserahkan kepada polis.

"Ketika anggota kereta peronda polis membuat rondaan, satu maklumat diterima menyatakan ada tangkapan dibuat oleh orang awam ke atas seorang lelaki yang cuba memecah tabung di surau itu," ujarnya.

Katanya, hasil semakan rekod lampau, suspek yang berusia 26 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah mencuri dalam bangunan.

Sementara itu, rata-rata netizen menyokong tindakan ajk surau tersebut untuk menyiram air terhadap suspek.

Namun, ada juga yang berpendapat bahawa suspek tidak wajar diperlakukan sebegitu. 

Apa pandangan pembaca pula?

Betul, walau terdesak macam mana sekali pun, jangan sesekali kita mencuri.

Tapi, wajarkah si pelaku itu diperlakukan sebegitu?