Datuk Seri Vida Kata Anak Gemuk, Ingin Cik B Kurus dan Cantik


Datuk Seri Vida mahu anak perempuannya kurus dan putih


By Syafiqah Azman

Usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan nama Datuk Seri Vida baru-baru ini telah memanggil anak perempuannya dengan panggilan gemuk kerana berat badan yang berlebihan. 


Menerusi media sosial Instagram, Vida telah memuat naik satu foto bersama kedua anaknya iaitu Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin atau Kacak dan Nur Edlynn Zamileen Muhd Amin atau Cik B. 

Foto yang diambil bersempena dengan Hari Ibu itu menjelaskan bahawa Vida dan kedua anaknya telah ke bazaar Ramadhan buat pertama kalinya sepanjang bulan puasa tahun ini. 

“Cik B mama lahirkan putih, gebu, montel dan rambut kerinting, comel. Tapi Cik B jadi gemuk sebab setiap malam bibik bagi Cik B makan burger banyak sangat,” tulis Vida di kapsyen foto tersebut. 


Tambah Vida lagi, dia yang sering sibuk dengan kerja membuatkan dia tiada masa untuk berada di rumah dan mengambil tahu mengenai perkembangan anaknya, jadi pembantu rumah yang sering menguruskan segalanya.  

“Mama dah haramkan Cik B makan burger. Pengawit dalam burger tu buat kulit Cik B hitam,” jelasnya lagi. 

Sementara itu, Vida turut mendoakan agar segala yang diingini kedua anaknya akan dikabulkan oleh Allah SWT dan apa yang paling penting sekali adalah janji Vida buat anak perempuannya itu untuk menjadikan dia lebih kurus dan cantik. 

“Mama nak banyakkan masa groom Cik B. Mama akan pastikan Cik B jadi hebat, kurus, cantik, putih dan gebu,” sambungnya. 

Tapi betul ke makan burger boleh buat kulit kita gelap? Dan apa yang paling penting sekali, mengapa perlu mengubah warna kulit hanya untuk kelihatan cantik? 

Mungkin orang kita ni bila nampak kulit putih terus ‘label’ cantik walhal kulit sebenar Melayu nusantara adalah sawo matang dan hitam manis.