3 alumni MRSM berjaya masuk Akedemi Tentera AS


Tiga alumni yang berjaya ke Akademi Tentera Amerika Syarikat bernama Aniq (kiri), Mateshan (tengah), Grace (kanan).


By Huzraifah Atikah

Wah! bukan calang-calang orang boleh mencapai kejayaan sebegini. 

Baru-baru ini tiga orang alumni Maktab Rendah Sains Mara telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Amerika Syarikat. 


Dua pelajar alumni 2017 tersebut adalah Muhammad Aniq Hilman Haslimi dari MRSM Baling akan menyambung ijazah di United States Naval Academy, Annapolis dan Grace Sian Ern Hui dari MRSM Parit di United States Airforce Academy, Colorado.

Manakala Mateshan Varma A/L Subramaniam daripada MRSM Parit (Alumni 2016) pula di United States Military Academy, West Point. 

Ketiga-tiga alumni MRSM yang membanggakan ini telah mendapat tawaran peringkat ijazah pada awal bulan Mei dan tawaran yang diberikan kepada mereka adalah dalam bidang ketenteraan yang berbeza-beza iaitu laut, darat dan udara.

Kesemua mereka juga baru sahaja menghabiskan pengajian peringkat asasi di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) awal tahun ini. 


Nampaknya ketiga-tiga mereka ini hebat-hebat belaka kerana bukan mudah untuk melepasi saringan untuk memasuki akademi-akademi ini.

Syarat kelayakan kemasukan adalah ketat kerana calon yang memohon perlu melalui beberapa fasa.

Antara kriteria dan syarat bagi melepasi pemilihan ini adalah berdasarkan keputusan SPM sekurang-kurangnya memperolehi 7A ke atas, standard fizikal yang telah ditetapkan, lulus ujian Bahasa Inggeris Australia dan beberapa peringkat temu duga oleh pihak UPNM dan pegawai dari Amerika Syarikat.

Difahamkan juga, tiga orang pelajar ini adalah hasil tapisan daripada 100 orang pemohon.

Ini adalah satu perkara yang amat membanggakan dan semoga pelajar Malaysia yang lain juga mendapat inspirasi dari kejayaan mereka. 

Youth Connect mengucapkan syabas kepada tiga orang pelajar ini. Semoga terus maju jaya!