"We Love You So So Much No Matter What...", Luah Diana Danielle Buat Farid Kamil


Diana Danielle luah perasaan mengenai penjatuhan hukuman terhadap suaminya, Farid Kamil


By Syafiqah Azman

Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah pun menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan kepada pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari atas kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau dikenali sebagai Tetra Hydrocannibol pada Januari tahun lalu. 

Mahkamah juga  enggan membenarkan hukuman itu ditangguhkan dan Farid Kamil harus dihantar menjalani hukuman penjara pada hari yang sama (Rabu). 

Susulan itu, Farid Kamil telah dibawa ke Penjara Kajang dan menjalani hukuman bermula tarikh sabitan iaitu semalam (Rabu). 

Manakala, isteri kepada pelakon filem Kongsi itu, Datin Diana Danielle berkongsi luahan kasih sayang terhadap suaminya walaupun Farid telah dijatuhkan hukuman penjara selama 9 bulan.  


Menerusi media sosial Instagram, Diana telah memuat naik satu foto bersama suami serta anaknya menyatakan bahawa dia akan sentiasa berada di sisi Farid walau apa pun yang berlaku.

“Kehidupan ini sentiasa pahit tapi dalam kepahitan itu, kita perlu sentiasa membina memori yang manis. Kami semua sayang you (Farid) walau apa pun yang terjadi,” tulisnya di ruangan kapsyen foto tersebut. 

Namun ibu kepada dua orang cahaya mata itu telah menutup ruangan komen dari netizen buat posting tersebut. 

Manakala, pada posting sebelumnya, komen-komen dari netizen telah membanjiri ruangan komen dengan memberikan kata-kata semangat buat wanita tersebut dalam mengharungi hari-hari tanpa suami di sisi bersama anak-anaknya.