Budak hampir maut dilanggar, diselamatkan oleh hero Malaya!


Kanak-kanak itu selamat dibawa pulang ke rumah


By Nadhirah Sofea Rashid

Tindakan pantas pemuda superbiker menyelamatkan seorang budak enam tahun daripada dilanggar sebuah lori di Puncak Alam Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, pemuda yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja terserempak dengan budak itu yang dilihat sedang cuba untuk melintas jalan.

Nasib menyebelahinya kerana pemuda tersebut membunyikan hon untuk memberi amaran kepada lori tersebut. 

Video berdurasi 7m32s itu memaparkan situasi di lokasi kejadian sehinggalah budak tersebut yang hanya dikenali sebagai Anita selamat kepangkuan bapanya. 

Pemuda tersebut menanyakan Anita mengenai ibu bapanya.

"Mak ayah kat mana? Adik nak pergi mana ni?," soal pemuda itu. 

Anita memberitahu bahawa ibunya sedang bekerja dan bapanya pula sedang tidur di rumah. 

Anita turut memberitahu pemuda itu dia mahu pulang ke rumah.

Pemuda yang tidak tahu rumah Anita di mana bertanyakan kepada beberapa individu yang dijumpai di tepi jalan. 

Namun, tiada sesiapa yang mengenali Anita dan ada juga yang beranggapan mungkin Anita terlepas daripada jagaan pengasuh. 

Walau bagaimanapun, Anita berjaya menunjukkan arah ke rumahnya lantas terus didukung pemuda itu ke rumahnya yang agak jauh. 

Rupa-rupanya, rumah Anita sedang diubah suai dan pintu sememangnya terbuka luas. 

Pemuda tersebut menanyakan kepada seorang lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian mengenai budak itu. 

Lelaki itu akui ternampak Anita keluar daripada rumah tapi tidak diendahnya. 

Bapanya kemudian keluar dengan mukanya yang terpinga-pinga dipercayai baru saja bangun tidur. 

Pemuda itu menasihati ayah Anita untuk lebih peka dengan pergerakan anaknya kerana sesungguh malang tidak berbau. 

"Assalamualaikum bang... abang tidur kat atas?  Abang tau tak anak abang tadi sampai sana (jalan utama) tadi?

"Saya tahan tadi tau... dia sikit lagi nak kena langgar lori. Kalau saya tak perasaan tadi mungkin budak ni dah tak ada dah bang," kata pemuda itu.

Anda boleh melihat video penuh dibawah:

Rata-rata netizen berterima kasih dan memuji ketangkasan pemuda itu menyelamatkan Anita. 

Ibu bapa dinasihatkan tidak lalai dan lebih peka dengan keadaan semasa rumah supaya kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi.