Rumahtangga Tak Mampu Selamat Lagi, Aliff Aziz dan Bella Astillah Sah Bercerai


Aliff Aziz dan Bella Astillah sah cerai talak satu


By Syafiqah Azman

Penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz bersama isteri Bella Astillah kini telah sah bercerai dengan talak satu hari ini di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. 

Menerusi satu video live Facebook Harian Metro, Aliff bersama dengan Bella ditemui di mahkamah sejurus selepas mereka selesai memfailkan penceraian. 

“Secara jujurnya saya kehilangan kata-kata dan saya tahu ramai yang akan mengatakan bahawa ini adalah kerana sikap saya sendiri akan tetapi saya manusia biasa dan saya tidak akan mencari alasan apa-apa,” jelas Aliff. 

Tambah Aliff lagi, dia berasakan Bella sudah pun berikan yang terbaik sejak mereka mengenali antara satu sama lain kira-kira 5 tahun yang lalu. 

“Mungkin ini adalah cara Allah SWT nak tunjuk kat saya dan mungkin ini cara yang terbaik saya nak perbaiki diri saya. Saya minta maaf terutama sekali kepada Bella dan keluarga," kata Aliff. 

 Manakala, Bella menjelaskan bahawa dirinya sudah pun mencuba yang terbaik untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. 

“Kali ni keputusan untuk bercerai adalah keputusan yang terbaik kerana Bella tak mahu kehidupan Ayden terjebak dalam hal ini,” jelasnya. 

Bella turut mengakui bahawa dirinya bersedih dengan keputusan yang telah diambil (bercerai) , namun keluarga sentiasa ada di belakang untuk menyokong dirinya. 

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hanya mampu bertahan selama 2 tahun lebih.  Pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.