Jangan api-apikan kaum-kaum di Malaysia


Image from bigcat


By John Isaac

Sudah menjadi kebiasaan dalam arena politik apabila individu mahupun kumpulan menggali maklumat-maklumat negatif, berniat untuk memburukkan seteru mereka. Cara berpolitik sebegini perlu dikawal.


Menaikkan semula video-video lama di platform media sosial sambil memutarbelit bahan tersebut untuk mewujudkan ketegangan kaum adalah sesuatu yang sangat menjengkelkan bagi rakyat. 


Dan ramai sudah sedia maklum, aktiviti sebegini telah dilakukan oleh cybertroopers Barisan Nasional; iaitu golongan yang membenci keharmonian kaum. Mereka tahu bahawa kaum dan agama merupakan satu isu sensitif dalam negara ini, lantas tanpa segan silu menggunakannya untuk memenuhi agenda jijik masing-masing.


Baru-baru ini, di bawah naungan M. Kula Segaran, Kementerian Sumber Manusia telah melakar kejayaan untuk Kerajaan Pakatan Harapan dengan pelancaran pusat pemulihan robotik di Melaka serta ditambah dengan pengumuman untuk menghantar pekerja ke Jepun. 


Pusat pemulihan robotik ini sudah semestinya mewujudkan satu kelebihan kepada pesakit yang mengalami lumpuh dan lemah anggota badan; untuk mendapatkan peluang agar mampu kembali berjalan. Pusat ini juga merupakan yang pertama disediakan di negara ini dengan menawarkan kemudahan terkini dan dijangka membantu beribu-ribu rakyat Malaysia.

 

Langkah untuk menghantar pekerja mahir dari Malaysia ke Jepun bukan setakat memberi pendedahan yang sangat luas kepada mereka, tetapi juga memberi peluang untuk mendapatkan gaji yang lumayan dan berkeupayaan untuk menyara keluarga di tanah air.


Walaubagaimanapun, semenjak Menteri Sumber Manusia membuat pengumuman tersebut, cybertroopers Barisan Nasional telah menyerang beliau dengan mendakwa bahawa keputusan tersebut adalah langkah yang buruk dan akan memberikan implikasi negatif terhadap negara. 


Cuba anda bayangkan, bekerja di Jepun, memperoleh kemahiran baru, dalam masa yang sama, mendapat gaji yang lumayan sekaligus dapat membantu keluarga di rumah. Sukar untuk difahami oleh fikiran yang waras bahawa langkah sebegini adalah langkah yang tidak betul.


Tambahan pula, golongan cybertrooper BN ini sanggup mencari video lama beliau untuk menuduh beliau menghina orang Islam ketika menyampaikan satu ceramah dalam Bahasa Tamil.


Bahasa Tamil merupakan bahasa yang kompleks dan mudah untuk disalah tafsir oleh orang yang tidak mahir menggunakannya, dan jelas sekali dalam video tersebut, pihak yang tak bertanggungjawab ini telah mengambil bahagian yang mereka ingini, kemudian disalahtafsirkan sebelum dihebahkan kepada semua orang.


Apakah tujuan mereka yang sebenarnya? Adakah mereka tidak berpuas hati di atas hakikat bahawa rakyat sedang bergembira hidup dalam keadaan aman dan harmoni?


Motif untuk mewujudkan kerusuhan dalam kalangan rakyat


Satu-satunya motif mereka di sini adalah untuk membangkitkan rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap kaum India dengan harapan dapat menimbulkan pergolakan sekaligus menyalahkan Kerajaan Pakatan Harapan terhadap perkara tersebut.


Rakyat Malaysia seharusnya lebih bijak mengabaikan dakyah kotor golongan yang tidak bertanggungjawab dan berhati jahat ini.


Semua sedia maklum yang Barisan Nasional telah mengeluarkan berjuta-juta Ringgit untuk membayar cybertroopers mereka setiap bulan hanya untuk menimbulkan ketegangan kaum melalui platform media sosial.


BN mesti menyedari kerosakan besar yang telah mereka mulakan dan tidak cuba menggunakan isu kaum dan agama sebagai cara untuk menutup kesalahan mereka.


Tidak ada lagi ruang untuk politik berasaskan kaum dalam masyarakat kita dan sudah tiba masanya BN sedar mengenai perkara ini.


Bagi orang seperti Kula Segaran, silakan fokus kepada usaha yang anda lakukan dan biarkan rakyat sendiri yang menilai.