Beri idea anda untuk atasi masalah hutang PTPTN


Maki hamun di media sosia tidak mendatangkan kebaikan, beri pandangan terus ke laman rasmi PTPTN. Pix from Google


By Huzraifah Atikah

Orang ramai kini boleh menyalurkan terus cadangan mereka tentang cara terbaik untuk pembiayaan balik hutang PTPTN pelajar.

PTPTN telah menyediakan satu pautan khas iaitu Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) dalam laman webnya untuk mereka yang ingin memberi idea mereka sehingga Jun 13. 

Menurut Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan, mereka akan mengambil kira kesemua pandangan serta idea bernas yang dapat memberikan kebaikan kepada semua pihak.

Katanya, tindakan sesetengah netizen yang aktif memberi pandangan menggunakan media sosial tidak memberi sebarang kesan positif.

“Saya minta netizen yang sering komen mengenai PTPTN di semua platform media sosial untuk pergi ke laman web rasmi KKR dan salurkan pandangan, tidak kiralah sama ada nak maki hamun, sumpah seranah ataupun ingin memberi cadangan,” katanya.


Beliau berkata, sekiranya terdapat pandangan yang baik sekalipun, jika hanya disalurkan ke media sosial seperti WhatsApp mahupun Facebook, PTPTN tidak akan baca dan ianya adalah perbuatan yang sia-sia. 

“Jadi salurlah ke laman web rasmi kami untuk dibaca, analisa, mengkaji serta mempertimbang dan yang baik kami akan laksanakan,” kata Saiful.

Disamping itu, Saiful juga berkata pihaknya tidak menghalang sesiapa daripada menyuarakan rasa tidak puas hati di mana-mana media sosial.

Namun, adalah lebih baik jika semua pandangan, data serta fakta itu disampaikan terus melalui laman rasmi KKR agar boleh diguna pakai sebaik mungkin oleh pihak PTPTN.

“Kami ada saluran rasmi untuk mereka beri komentar dan mencetuskan perdebatan, dan kami juga mahu orang dengar dan bahas di peringkat akar umbi. 

“Jadi saya minta sangat dalam tempoh tiga minggu sehingga 13 Jun ini, tolong guna sebaiknya saluran KKR tersebut," katanya.

Beliau berkata lagi, sebagai langkah tambahan, PTPTN akan melaksanakan dialog awam atau town hall di seluruh negara bermula minggu ini bagi mendapatkan lebih banyak idea untuk membantu PTPTN dalam isu pembayaran balik pinjaman.


Town hall itu akan berlangsung sebanyak 5 sesi, dimana sesi pertama akan diadakan pada Mei 23 (Universiti Malaya), sesi kedua pada Mei 25 di Universiti Sains Malaysia, seterusnya Mei 27 di Universiti Malaysia Terengganu, Mei 29 di Universiti Malaysia Sabah dan yang terakhir pada Mei 31 di Universiti Malaysia Sarawak.  

Sementara itu, jika anda ingin memberikan pandangan, sila ke sini untuk berbuat demikian. 

Semoga isu PTPTN ini dapat diselesaikan dengan segera dan semua pihak berpuas hati dengan tindakan yang akan diambil kelak.