Pelajar UiTM Palam sumbang makanan percuma kepada lebih 200 pelajar lain


Pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Puncak Alam memberi sumbangan


By Nadhirah Sofea Rashid

Di dalam bulan Ramadhan ini, ramai masyarakat mengambil inisiatif untuk melakukan amal jariah memberi sumbangan kepada insan-insan yang memerlukan. 

Para pelajar juga merupakan antara insan yang memerlukan sumbangan. 

Mana tidaknya, ada yang sanggup mengikat perut dengan hanya berbuka mee segera kerana kesempitan wang.

Prihatin dengan nasib pelajar yang lain, pelajar-pelajar daripada Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Puncak Alam juga mengambil peluang untuk memberikan sumbangan berbentuk makanan dan minuman kepada lebih 200 pelajar.

Sumbangan tersebut telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan sempena sebuah projek yang dinamakan 'IFTORBAEK' dengan hashtag, #EventgersDoGood.

Ketua Projek tersebut, Muhammad Ammirul Hafiz Rashid berkata objektif projek ini adalah untuk membantu pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan.

"Objektif utama kami adalah untuk meringankan beban mana-mana pelajar yang kekurangan wang disamping membuat amal jariah pada bulan Ramadhan.

"Seperti yang kita tahu, bukan semua pelajar berkemampuan. Diharapkan usaha kami ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka," ujarnya. 


Menurut Hafiz lagi, projek ini adalah dibawa subjek pengurusan majlis dimana hampir 100 pelajar menyertainya. 

"Selain merapatkan jurang sesama pelajar, projek ini juga mendedahkan para pelajar dari pihak penganjur untuk berinteraksi dengan orang awam," tambah Hafiz.

Hafiz juga memberitahu wang yang dikumpul untuk makanan dan minuman adalah daripada wang sumbangan pelajar fakulti itu sendiri. 

Siapa yang tak gembira apabila diberi sumbangan, betul tak? Begitu jugalah para pelajar yang menerima sumbangan!

"Rata-rata pelajar memang menyukai projek-projek sebegini. Kami berharap agar projek amal seperti ini dapat kami adakan bukan sahaja dalam bulan Ramadhan, tetapi dalam bulan-bulan yang lain juga," kata Hafiz.