Netizen bantah pemberian biasiswa kepada pelajar Palestin


Tun Dr Mahathir bersetuju untuk beri biasiswa kepada pelajar Palestin - Gambar daripada Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Bagai kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Itulah ungkapan yang seumpama dengan reaksi-reaksi bantahan netizen terhadap pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang menyatakan pelajar Palestin bakal diberi biasiswa sejumlah RM11.4 juta. 

Baca: RM11.4 juta biasiswa untuk pelajar Palestin

Ramai berpendapat para pelajar di Malaysia perlu diberikan perhatian lebih sebelum memberi pertolongan kepada orang asing. 

Tidak kurang juga dengan para pelajar yang terpaksa berhutang berpuluh-puluh ribu dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semata-mata untuk menyambung pelajaran. 

Bekas Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Yee Moh Chai turut menyifatkan inisiatif Kementerian Pendidikan itu baik, tetapi tidak baik bagi pelajar di bumi sendiri. 

“Kalau kita begitu prihatin dengan pendidikan pelajar bukan rakyat Malaysia, kenapa pada masa yang sama kita begitu tegas dengan peminjam PTPTN?

“Kebanyakan peminjam PTPTN kita dihukum kerana gagal bayar pinjaman," ujarnya. 

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa tidak senang dengan keputusan ini. 



Walau bagaimanapun, ramai yang terkeliru dengan wang yang digunakan untuk memberi biasiswa kepada pelajar Palestin ini. 

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir menjelaskan bahawa dana untuk penajaan itu adalah dari sumber kewangan 12 universiti,

Dalam 12  universiti itu, hanya satu sahaja yang merupakan universiti awam. 

Berikut merupakan senarai universiti dan nilai sumbangan:

1. Albukhary International University RM3,500,000.00 (25 biasiswa)

2. Management & Science University RM1,100,000.00 (27 biasiswa)

3. Mahsa University RM1,094,200.00 (20 biasiswa)

4. Kolej Universiti Islam Perlis RM1,020,000.00 (15 biasiswa)

5. City University RM1,000,000.00 (26 biasiswa)

6. Multimedia University RM1,000,000.00 (6 biasiswa)

7. UCSI University RM719,433.00 (5 biasiswa)

8. Universiti Teknologi Petronas RM681,500 (6 biasiswa)

9. Universiti Tenaga Nasional RM575,000.00 (3 biasiswa)

10. Sunway University RM500,000.00 (3 biasiswa)

11. Universiti Kuala Lumpur RM158,400.00 (2 biasiswa)

12. Universiti Utara Malaysia RM128,000.00 (2 biasiswa)

"Adalah menjadi kelaziman kepada universiti-universiti ini untuk menawarkan biasiswa setiap tahun sama ada kepada pelajar Malaysia atau antarabangsa.

"Usaha ini menunjukkan komitment dan keprihatinan universiti-universiti terbabit dalam meningkatkan kecemerlangan akademik bukan hanya di universiti masing-masing, tetapi juga memberi peluang kepada anak-anak Palestin yang dilanda peperangan," jelas beliau dalam satu kenyataan media.