Harga tiket penerbangan ke Sabah untuk Hari Raya mencecah hampir 2 ribu ringgit!


Penerbangan musim perayaan terbukti mahal lebih mahal berbanding biasa. -Gambar hiasan dari Google.


By Huzraifah Atikah

Setiap tahun apabila menjelang apa-apa jua perayaan harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah, terutamanya ke Tawau mencecah sehingga lebih seribu ringgit.

Isu ini kini menjadi topik bualan hangat di media sosial dengan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi turut menyuarakannya walaupun ianya bukan di bawah bidang kuasanya. 

Beliau berkata akan membawa isu ini ke pengetahuan jemaah menteri, selain Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata perkara ini telah diutarakan olehnya beberapa bulan lepas tetapi nampaknya tidak ada perubahan.

“Sebelum ini, Menteri (Anthony) sudah memberitahu bahawa harga tiket penerbangan tidak akan naik, malahan kapasiti penerbangan akan ditambah.

“Jadi saya harap (kepada) Kementerian Pengangkutan, harga (tiket penerbangan) tidak akan naik,” katanya. 

Menurut laporan media tahun lepas, Kementerian Pengangkutan dan tiga syarikat penerbangan tempatan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, dan Malindo bersetuju menambah jumlah penerbangan sebanyak 20 peratus sepanjang musim perayaan bermula tahun 2019. 

“Kami telah mengenal pasti tiga musim perayaan yang selalunya berdepan dengan harga tiket yang melambung iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.

"Tiga perayaan ini berdepan dengan harga tambang yang sensitif dan kita bakal melihat bagaimana kita mahu menurun harga tambang melalui tempoh percubaan," kata Anthony. 

Mohamaddin berkata disebabkan perkara ini masih menjadi isu yang agak besar, ia akan disuarakan lagi kepada Anthony. 

Rata-rata penduduk Sabah yang bekerja dan menetap di Semenanjung menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap harga yang tidak masuk akal itu di media sosial. Mereka berkata:


Memang harga cekik darah! Ini harga penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah.


Ini pula harga penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah. 


Namun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula berkata mereka tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan domestik pada musim perayaan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata justeru itu, mereka tidak boleh membawa isu berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Saya kena berlaku adil kepada syarikat penerbangan juga. Kalau ada asas seperti aduan, tindakan boleh diambil. Setakat ini, aduan berhubung perkara itu belum kita terima.

“Saya setiap hari periksa aduan pengguna kepada kementerian dan ada tiga aduan yang paling banyak diterima iaitu kenaikan harga barang, penipuan perniagaan dalam talian dan iklan yang mengelirukan,” katanya.

Beliau juga menggesa pengguna supaya bijak merancang membeli tiket penerbangan supaya mendapat harga yang murah.

Sementara itu, menurut Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, ramai pengguna terkesan dengan kenaikan harga tiket terbabit pada musim perayaan.

Hakikatnya, setiap tahun pasti ramai penduduk Sabah yang tinggal di Kuala Lumpur tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat harga tiket penerbangan yang melambung tinggi menjelang perayaan. 

Mac tahun lepas, bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi pernah berkata:

“Disebabkan ada aduan yang diterima berhubung tambang tinggi pada musim perayaan, maka pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia sudah melaksanakan kajian mengenai tambang yang dijangka selesai pertengahan 2018.

“Setakat ini penemuan awal mendapati tambang semasa perayaan dinaikkan di laluan tertentu sehingga 4.7 kali ganda dalam tempoh 2 hari musim perayaan,” katanya.

Youth Connect turut membuat perbandingan harga pada cuti musim perayaan dan cuti sekolah. Ini yang kami dapati.

Harga penerbangan domestik dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah.


Harga penerbangan domestik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah. 


Semoga para Menteri yang terlibat faham akan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan bertindak dengan segera agar perkara ini tidak akan terjadi lagi mulai tahun hadapan.