“Depresi bukan satu bahan jenaka…”- Faiz Roslan


Selebriti media sosial, Faiz Roslan mengalami depresi


By Syafiqah Azman

Isu depresi tidak semudah yang disangka kerana seseorang itu perlu berjumpa dengan doktor pakar untuk merawat kondisi yang dialami. 

Terkini, seorang selebriti media sosial terkenal, Faiz Roslan telah memuat naik beberapa posting di Instagram story mengenai depresi. Ia seolah-olah memberi bayangan tentang keadaan yang dialaminya sekarang. 


Faiz turut memuat naik satu posting dan menjelaskan tindakannya mengelar tangan itu bukanlah gimik untuk mendapatkan perhatian ramai. 

“Depresi dan gemuruh adalah sangat serius. Daripada otak boleh berfikir sampai rela buat benda bodoh, sebagai contoh apa yang Faiz buat.

“Ya, Faiz salah tapi kita tiada masa nak fikir kerana sedih dan stress atas sebab tertentu tempoh hari. 


“Ini bukan gimik untuk naikkan nama. Siapa yang DM dan call Faiz, dia tahu cerita,” jelas Faiz di ruangan kapsyen posting tersebut. 

Dirinya yang enggan menceritakan keadaan sebenar mengapa dia melakukannya memohon maaf kepada orang ramai. 

“Ya, perlu bimbingan tapi kenapa warga Facebook yang hati busuk sampai sanggup suruh saya kelar sampai terus mati,” tambahnya lagi. 

Faiz atau nama sebenar Muhammad Faiz Roslan turut berterima kasih apabila ada warga netizen yang baik hati memberikan nasihat yang positif dan sangat baik buat dirinya. 

Isu tersebut membuatkan salah satu badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) memuat naik satu posting di akaun Facebook rasmi mereka dan menggesa warga netizen agar tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan meninggalkan komen di posting Faiz.