Pelajar dilantik ahli senat universiti


Pelantikan ini merupakan satu sejarah baharu untuk UniSZa. -Gambar dari Google.


By Huzraifah Atikah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) baru-baru ini telah melantik dua mahasiswa sebagai Ahli Senat universiti berkenaan. 

Pelantikan seumpama ini merupakan pertama kali dalam sejarah pendidikan tinggi di negara ini.

Menurut Kementerian Pendidikan, langkah ini merupakan satu usaha terbaik bagi melaksanakan reformasi menyeluruh sistem pendidikan negara. 

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata ini juga menjadi titik terpenting kepada usaha berterusan kerajaan memperkasakan mahasiswa di setiap universiti.

Naib Canselornya Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, dua pelajar yang terpilih itu ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisza, Harun Osman dan Timbalan Presiden 2 majlis tersebut, Ahmad Kamil Makhtar.


Harun merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah), manakala Kamil pula merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

“Saya rasa cukup bertuah kerana terpilih dan akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan pengurusan universiti dengan sebaik mungkin,” kata Harun. 

Sementara itu, dua lagi pemimpin pelajar iaitu Ketua Perhubungan Mahasiswa MPP, Ahmad Sufian Mohd. Dalizan dan Ain Syazana Zolkepli (Bendahari 2 MPP) dilantik sebagai pemerhati.

Hassan Basri berkata Unisza berasa bertanggungjawab untuk menyahut seruan Menteri Pendidikan dan kita melihat usaha ini sebagai satu gerakan ke arah memperkasakan pelajar dalam pentadbiran universiti.

“Terima kasih kepada Menteri atas cetusan idea ini dan kita mengambil langkah segera serta proaktif membincangkan semasak-masaknya untuk memilih pemimpin pelajar yang terbaik,” katanya.

Menurut Hassan Basri lagi, pelantikan empat pemimpin pelajar berkenaan sebagai ahli dan pemerhati Mesyuarat Senat merupakan penghormatan tinggi buat golongan penuntut di Unisza.

Tempoh lantikan itu selama dua tahun atau sehingga tamat pengajian dan UniSZA bercadang untuk melantik lebih ramai lagi ahli senat dalam kalangan penuntut mengikut keperluan.

Disamping itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata perkara itu juga disambut baik oleh mereka. 

Presiden PKPIM, Muhamad Nur Iman Abdul Khudus berkata, pelantikan itu secara tidak langsung menunjukkan pengiktirafan pihak pentadbiran universiti awam terhadap peranan dan keupayaan mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam sebuah badan akademik tertinggi varsiti yang berkuasa terhadap urusan akademik.

“PKPIM mengambil berat akan hal ini kerana mahasiswa merupakan pemegang taruh utama dalam sesebuah institut pendidikan tinggi yang akan terkesan secara langsung dengan dasar-dasar akademik yang ditentukan oleh pihak Senat,” kata Nur Iman. 

Seterusnya, PKPIM turut berharap universiti-universiti tempatan yang lain juga akan berbuat demikian untuk menyahut seruan untuk melibatkan golongan mahasiswa dalam hal pengurusan dan pentadbiran universiti.

Nampaknya ini adalah satu usaha yang baik bagi mengembangkan lagi sistem pendidikan tinggi di Malaysia. 

Semoga universiti-universiti awam yang lain juga mengambil langkah sebegini seperti yang telah di ambil oleh UniSZa.