PM: Menteri Pendidikan tidak akan ditukar


Maszlee kekal sebagai Menteri Pendidikan.


By Huzraifah Atikah

Kedudukan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan tidak tergugat pada masa kini kerana tiada masalah besar yang timbul sepanjang memegang portfolio itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kedudukan Maszlee dan menyatakan tiada alasan untuk menggantikan Menteri Pendidikan dengan yang baharu. 

“Saya tak nampak apa masalah dengan Maszlee, cuma beliau suruh tukar kasut sekolah kepada warna hitam sahaja, yang lain semua OK, “ kata Dr Mahathir. 

Beliau juga berkata Maszlee patut kekal kerana beliau bukanlah seorang yang rasis seperti yang ditafsirkan.  

“Beliau cakap sikit sahaja mengenai kaum tak bermakna rasis. Dalam Pakatan Harapan, ramai cakap pasal kaum. Orang Cina cakap pasal Cina, orang India cakap pasal India, Iban cakap pasal Iban, begitu juga dengan kaum-kaum lain,” katanya.

“Tetapi mereka semua ialah rakyat Malaysia, kita tak boleh persoalkan bangsa mereka, kaum isu berbeza, kita kena dapatkan sokongan semua. 

“Kita cuba dapatkan sokongan Bumiputera memandangkan UMNO dan Pas menggunakan bangsa dan kaum untuk mendapatkan sokongan. Dan kalau kita tidak jelaskan pendirian kerajaan tentang bangsa, saya rasa kita akan kalah pilihan raya," katanya. 

Kenyataan tersebut dibuat ekoran beberapa petisyen yang dibuat netizen bagi mendesak Maszlee agar beliau segera meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan. 

Terdapat dua petisyen dibuat, yang pertama adalah ‘Tun, please replace Minister of Education, Dr Maszlee Malik’ dan satu lagi adalah ‘We want Maszlee Malik to resign from Education Minister’. 


Hampir 143,000 yang telah menandatangai petisyen yang pertama dan hampir 42,000 untuk petisyen yang kedua. 


BACA: Maszlee criticised for linking matriculation quota and job market

Sebelum ini, Maszlee pernah berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi perlu membangkitkan juga mengenai isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

“Kalau kita nak ubah kuota matrikulasi, kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan peluang pekerjaan kepada Bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh berbahasa Mandarin,” ujarnya lagi.

Disebabkan kenyataannya itu, Maszlee telah menerima pelbagai kritikan dari pelbagai pihak dan netizens berkenaan prestasi dan kelayakannya untuk terus memegang jawatan Menteri Pendidikan. 

Antara pihak yang telah mengecam tindakannya untuk berkata sedemikian adalah Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy. 

Namun begitu, jika dilihat satu lagi petisyen yang dibuat, iaitu ‘Support Dr Maszlee Malik as Education Minister’, ianya mendapat lagi banyak tandatangan berbanding dua petisyen yang mendesak Maszlee untuk meletakkan jawatan. 

Petisyan tersebut kini mendapat lebih daripada 308,000 penyokong. 

Apakah pendapat anda?