Syed Saddiq mahu pemuda bantu ibu di dapur


Syed Saddiq membantu Dr Wan Azizah membuat kuih - Gambar daripada Twitter


By Nadhirah Sofea Rashid

Sempena bulan Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan generasi millenial terutamanya golongan lelaki untuk sentiasa meringankan tulang dengan membantu ibu di dapur.

Menerusi posting Instagramnya, Saddiq memuatnaik beberapa gambar yang menunjukkan beliau membuat kuih raya bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau turut berkongsi pengalamannya bergotong royong bersama keluarga membuat kuih raya bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Belajar buat kuih bersama YAB @drwanazizah. Dahulu, setiap kali masuk bulan Ramadan, saya sekeluarga akan bersama ibu di dapur bergotong royong buat kuih raya. Kadang kala dari lepas sahur sampai ke masa berbuka.

"Paling best buat kuih tart, London Almond & Kuih Cornflakes sebab kalau buat banyak, quota makan pun lagi besar," tulis beliau. 

Beliau turut menasihati golongan pemuda lelaki untuk berkongsi tanggungjawab untuk membantu golongan wanita di dapur.

"Kepada anak muda di luar sana, jangan abaikan tanggungjawab untuk membantu ibu di dapur. 

" It doesn’t make you any less of a man to help a woman in the kitchen. Shared responsibility," tulis beliau lagi.

Beliau turut berkongsi gambar-gambar tersebut di Twitter. 

Namun, ruangan komennya dikerumuni komen negatif mengatakan beliau tidak sepatutnya membuang masa membuat kuih, tetapi jalankan tugas sebagai menteri.

Walau bagaimanapun, ramai juga yang berpendapat Syed Saddiq berhak menjalani hidup normal. 

Ish ish ish, tunjuk gambar buat kuih pun kena kecam!

Apa-apa pun, jangan lupa peringatan menteri kita tu, tolong menolong amalan mulia!