Plus cadang bina kapsul tidur di R&R


PLUS bercadang menambah kapsul tidur jika mendapat sambutan.


By Huzraifah Atikah

Plus Malaysia Berhad (PLUS) bercadang membina kapsul tidur untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di lebuhrayanya.

Pengarah urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata cadangan itu kini pada peringkat kajian dan projek rintisnya dijangka direalisasikan tahun hadapan.

Menurutnya, kapsul tidur itu boleh digunakan untuk dijadikan tempat berehat sejam dua atau ‘power nap’ bagi melepaskan penat sebelum meneruskan pemanduan, terutamanya pemandu kenderaan berat. 

“Ini antara penambahbaikan fasiliti sedang dikaji dan kita berharap langkah ini dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan pemandu kenderaan berat dan mereka boleh memandu dalam keadaan segar… sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan akibat mengantuk dan kepenatan,” katanya. 

Tambahnya, kapsul tidur tersebut akan dibina di kawasan rehat dan rawat (R&R) memandangkan ia mempunyai kawasan parkir kenderaan berat yang luas, selain menyediakan pelbagai fasiliti lain termasuk tandas yang lengkap dengan bilik mandi.

Azman berkata PLUS pernah membuka hotel di lebuhrayanya tetapi terpaksa menutupnya kerana tidak mendapat sambutan. 

Beliau berkata PLUS mendapati pemandu mahukan tempat tidur hanya untuk ‘quick nap’ dan tidak memerlukan hotel seharian.

“Maka kita akan lihat maklum balas pengguna terhadap projek rintis itu nanti dan kalau sambutannya baik, kita akan perluaskan di R&R bersesuaian,” katanya.

Perkara ini juga nampaknya di sokong oleh sesetengah netizen yang merasakan kapsul tidur ini amat baik bagi para pemandu yang kerap ulang-alik menggunakan lebuhraya tersebut dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini.