Warden liwat pelajar tahfiz dihukum penjara 228 tahun, 42 sebatan


288 tahun penjara dan 42 kali sebatan.


By Huzraifah Atikah

Hina dan jijik sekali perbuatan warden ini! 

Acap kali kes sebegini dilaporkan, namun tetap masih ada juga pemangsa tanpa belas kasihan melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa yang tidak terdaya melawan. 

Namun kini, keadilan dapat jua dituntut oleh mangsa-mangsa serta keluarga setelah suspek berjaya diberkas oleh pihak polis. 

Warden asrama tahfiz itu akhirnya dijatuhkan hukuman penjara selama 228 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kangar, atas kesalahan meliwat lima pelajar. 

Tertuduh yang bernama Nawawi Anuar, 28, dari Bandar Baharu, Kedah itu turut dikenakan 42 kali sebatan rotan. 

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap 26 daripada 29 pertuduhan keatasnya.


Mengikut 26 pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa meliwat lima pelajar berusia sembilan hingga 15 tahun di pusat Maahad Tahfiz Al-Quran Ar-Raudhah sepanjang April lalu.

Namun begitu, tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan dua kes liwat dan satu kes memaparkan video lucah melalui telefon bimbit kepada seorang mangsa berusia 11 tahun.

Pendakwaan itu dilakukan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan juga Akta Penapisan Filem 2002.

BACA: Cabul dan liwat, warden tahfiz diburu polis!

Hukuman yang dijatuhkan itu ekoran daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang guru tahfiz yang mendengar rintihan hati anak muridnya yang menjadi mangsa kepada tertuduh.

Menurut laporan guru pusat tahfiz tersebut, salah satu mangsa yang berusia 15 tahun telah berjumpa dengannya di pejabat pentadbiran sekolah pada Apr 24 lalu dan mengadu mengenai perbuatan tertuduh yang berlaku di bilik warden sejak awal April.

Mangsa turut mendakwa suspek mengugut untuk memukulnya sekiranya kejadian itu dilaporkan namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan demikian bertindak membuat aduan.

Nampaknya, hukuman yang telah diambil oleh pihak mahkamah dilihat setimpal dengan perbuatan terkutuk itu. Bak kata pepatah, 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ketanah juga'.

Syabas kepada pihak polis dan guru yang bekerjasama menuntut keadilan bagi mangsa-mangsa yang terlibat. 

Semoga kes ini dijadikan pengajaran buat semua lapisan masyarakat agar sentiasa melindungi kanak-kanak dan tidak menzalimi mereka dari segi apa pun.