Satu kontena baju raya untuk Universiti Malaysia Pahang


Program tersebut mendapat sambutan ramai - Gambar daripada laman web rasmi UMP


By Nadhirah Sofea Rashid

Hampir satu kontena pakaian terpakai serta barangan keperluan lain dikumpul untuk diberikan percuma bagi membantu pelajar-pelajar dalam program Jualan Amal Raya Campus Pantry di Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini. 

Program yang memasuki tahun kedua penganjurannya adalah inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMP dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) dan berlangsung Rabu lalu.

Menurut Pengurus Besar JHEPA Haryani Abdullah, program ini bertujuan untuk meringankan beban mahasiswa dengan memberikan pakaian secara percuma serta berkongsi kegembiraan menjelang sambutan Aidilfitri.

Selain pelajar , orang ramai juga telah hadir dan menyumbang antara RM1 - RM10 untuk tabung UMP Campus Pantry.

“Pakaian-pakaian ini telah disumbangkan oleh warga UMP sejak seminggu lalu dengan kebanyakan pakaian terdiri daripada baju kurung, baju Melayu, kemeja, dan macam-macam lagi.

"Ada diantara pakaian yang masih baharu serta selesa digunakan,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Wanita UMP.

Baju Raya Buat Mahasiswa UMP

Walaupun program amal ini berlangsung pada minggu peperiksaan, ia tetap mendapat sambutan ramai dengan komitment sukarelawan mahasiswa yang banyak membantu. 

Menurut Pegawai Psikologi Kanan UMP, selepas lebih lima jam program berlangsung, kira-kira 1,000 orang membanjiri lokasi program dan sejumlah RM2,000 wang sumbangan telah berjaya dikumpulkan. 

Rata-rata pelajar yang berkunjung amat berterima kasih atas program yang dianjurkan. 

Sedikit sebanyak, program ini dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik menikmati Hari Raya Aidilifitri.