Remaja mati selepas 6 jam main PUBG


Bermain game terlalu lama boleh mengundang bahaya


By Nadhirah Sofea Rashid

Lagi kes kematian yang melibatkan permainan online popular PlayerUnknown's Battleground (PUBG) yang berlaku di negara India. 

Furkhan Qureshi dari Madhya Pradesh dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung setelah bermain PUBG selama enam jam tanpa henti.

Mungkin bagi kaki gamers, enam jam ni apalah sangat. Tapi sebenarnya ia sangat berbahaya!

Remaja yang berumur 16 tahun ini bermain PUBG di telefon pintarnya selama enam jam sebelum dia jatuh dan tidak sedarkan diri pada Mei 28 yang lalu. 

“Dia mula bermain permainan itu selepas waktu makan tengah hari dan berterusan selama enam jam.

“Sebelum rebah, dia menjadi tertekan dan mula menengking pemain lain,” kata bapanya Harun Rashid Qureshi.

Ketika kejadian itu berlaku, Furkhan dikatakan sangat marah sehingga melempar telefonnya kerana tidak berpuas hati dengan salah seorang pemain yang juga merupakan rakannya. 

Menurut pakar kardiologi Dr Ashok Jain yang merawatnya, mangsa dibawa ke hospital tanpa denyutan nadi. 

“Kami cuba menyelamatkannya dengan melakukan renjatan dan menyuntik ubat tetapi gagal," ujar pakar tersebut. 

Dr Ashok berkata keghairahan bermain PUBG itu menyebabkan adrenalin mangsa mengalir deras sehingga berlaku serangan jantung. 

“Saya merayu generasi muda supaya mengelakkan daripada bermain permainan seumpama ini kerana ia boleh menyebabkan serangan jantung,” katanya.

Bermacam-macam kes yang berlaku gara-gara PUBG sehingga beberapa daerah di India bertindak untuk mengharamkan permainan itu. 

Bukan dekat India saja, perkara sebegini telah berlaku dimana-mana!

Baca:  Pengantin lelaki abaikan isteri ketika majlis perkahwinan akibat kemaruk PUBG

Tak salah bermain, tapi berpada-padalah. Jangan sampai memakan diri.