Budak 10 tahun hilang mata gara-gara mercun


Budak 10 tahun itu kehilangan mata kanannya setelah tin mercun meletup. -Gambar dari ohmymedia.


By Huzraifah Atikah

Saban tahun apabila menjelang sahaja hari raya pasti akan ada terjadinya kes berkaitan mercun.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa bahaya mercun ini mesti ada saja yang kehilangan anggota badan sehingga cacat seperti hancur jari, tangan, dan yang terkini kehilangan mata.

Baru-baru ini, mangsa adalah seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang parah selepas terkena letupan mercun dalam kejadian di Tanjung Batu, Nenasi, Pekan. 


Ia berlaku apabila Muhammad Isyraf Firdaus Zulrisam sedang bermain bersama rakan-rakannya di padang dan cuba menyalakan mercun jenis bola,.

Dia meletakkannya di dalam sebuah tin, namun ia tidak meletup.

Justeru, dia segera memeriksa tin berkenaan. Tetapi malangnya letupan berlaku semasa dia cuba membuka penutup tin.

Akibat daripada letupan tersebut, selain wajahnya terkoyak, mata anaknya mengalami pendarahan yang teruk selepas serpihan tin itu terkena pada mata kanannya.

Namun lebih memilukan, menurut doktor yang merawat, matanya tidak lagi dapat diselamatkan dan sudah tidak boleh berfungsi kerana bebola matanya sudah hancur.


Kini tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan untuk membantu menyelamatkan mata Isyraf. 

Menurut bapa mangsa, Zulrisam Kadri, 43, dia tidak mahu mengikut perasaan sedih dan reda dengan ketentuan yang menimpa anak sulungnya.

Dia masih terkejut dengan kejadian terbabit tetapi mahu terus memberi semangat kepada anak dan isteri untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.

“Memang sedih... dapat tahu pula mata kanan anak tak dapat diselamatkan lagi. Tapi saya kena kuat.. saya tahu anak perlukan semangat untuk pulih, begitu juga tekanan yang dialami isteri. Mereka berdua perlukan sokongan saya untuk hadapi ujian hebat ini,” katanya.

Perasaannya terus tersentuh apabila Isyraf mengajukan pertanyaan sama ada dia masih boleh menyambut Aidilfitri atau sebaliknya.

Zulrisam berkata, dia dan isterinya Rohana Abdul Majid, 45, tidak memikirkan mengenai sambutan Aidilfitri buat masa ini kerana mahu anak mereka sembuh dan menjalani kehidupan harian seperti biasa.

“Doktor belum putuskan samada dia perlu tinggal di hospital dalam tempoh berapa lama. Buat masa sekarang saya yang menemani dia 24 jam di hospital dan uruskan segala keperluan dia,” katanya.

Zulrisam berkata dia langsung tidak mengetahui anaknya bermain mercun bola memandangkan sebelum ini anaknya hanya bermain mercun jenis ‘mancis’ sahaja.

“Ketika kejadian itu saya rasa macam tak sedap hati dan ambil keputusan untuk meronda di kawasan padang tersebut.

“Masa saya lalu di padang, saya tak nampak kelibat dia, saya ingat dia dah balik ke rumah jadi saya pun balik. Bila sampai rumah saya terkejut tengok ramai orang berkerumun di halaman rumah saya.

“Baru tahu anak saya cedera terkena letupan mercun bola dan segera membawanya ke klinik di Nenasi sebelum dihantar ke sini,” katanya lagi. 

Jelasnya, sebelum itu Isyraf ada meminta duit untuk membeli makanan, rupanya wang itu untuk membeli mercun.

“Dia beli mercun bola tu senyap-senyap sebab dia tahu saya tak akan bagi dia main mercun.

Dia berkata anaknya juga ada menyatakan kekesalan dan tidak lagi mahu bermain mercun selepas ini.