5 makanan wajib Hari Raya


Setiap rumah pasti boleh cari salah satu juadah wajib ini. - Gambar hiasan dari Google


By Huzraifah Atikah

Wah, dah nak raya lah! Pasti ramai yang dah balik kampung kan?

Masa raya ni lah masa terbaik untuk mengabadikan kenangan manis bersama seluruh keluarga, teman rapat dan juga sanak saudara. 

Ada yang dah mula berkumpul dengan keluarga besar dan cuti beberapa hari ni pun mesti dah ada rancangan untuk menziarahi rumah sepupu sepapat. 

Namun, bukan itu sahaja, kerana salah satu aktiviti wajib ketika hari raya adalah ‘food hunting’.  

Apa taknya, raya ni mestilah banyak makanan sedap-sedap, rugi siapa yang tak makan...

Ini antara menu wajib yang perlu ada pada hari raya:

1. Ketupat

Ketupat ni ada macam-macam jenis. Contohnya ketupat palas dan ketupat nasi. 

Kepada yang tak tahu membezakan antara dua ketupat ni, ketupat palas biasanya menggunakan daun palas untuk membalutnya dan diisi dengan beras pulut. 

Manakala ketupat biasa menggunakan beras biasa dan daun kelapa. 

Dari segi luaran ketupat palas lazimnya berbentuk segi tiga dan ketupat biasa berbentuk segi empat.


2. Lemang

Lemang ni dah jadi salah satu simbolik hari raya, jadi kalau ingat lemang je mesti ingat raya, kan?

Memang tidak dinafikan lemang ni walaupun cara nak buatnya agak rumit tapi ini lah menu yang menjadi kegilaan ramai. 

Kalau dulu nak makan lemang ni mesti kena buat sendiri, dengan nak cari buluh lah, nak isi beras pulut dan santan, lepas tu nak bakar pula lagi berjam-jam lamanya. Penat!

Tapi tak usah risau, zaman sekarang ni agak canggih sikit, jadi yang sibuk kerja tak sempat nak buat lemang sendiri tu boleh je beli, sebab ramai yang menjual lemang. 


3. Rendang

Antara banyak-banyak menu raya, kalau dapat rendang mesti akan rasa lebih puas hati. 

Boleh dikatakan tak rasa suasana hari rayalah kalau tak dapat rasa rendang. 

Tak kira lah rendang ayam ke daging ke, lepas tu makan sekali mesti tak cukup. Gerenti nak tambah lagi.  

Dah sibuk borak dengan sanak saudara sambil makan tu, haa tak rasa dah makan 5 round rendang dengan ketupat dan lemang. Sampai tak boleh gerak dari kerusi, habis semua diet. 


4. Kuah Kacang

Selain dari rendang, kuah kacang ni pun wajib ada.

Rasa tak lengkap raya kalau tak ada kuah kacang. Apa tidaknya, kuah kacang ni boleh makan dengan macam-macam sajian dan memang sedap tau. 

Contohnya, kuah kacang boleh dimakan dengan ketupat, satay dan lemang. 

Jadi semestinya tuan rumah yang buat rumah terbuka wajib sediakan kuah kacang. 


5. Lontong

Lontong adalah sajian yang terhasil daripada gabungan nasi himpit, sayur-sayuran dan daging. 

Sajian klasik lontong biasanya dihidangkan di dalam kuah santan yang tidak manis. 

Tapi, ianya bergantung juga kepada selera setempat, terdapat banyak variasi masakan lontong ni. 

Biasanya terdapat pelbagai bahan yang ditambah dalam lontong seperti telur rebus dan juga tempe. 

Kebiasaannya semua bahan diasingkan jadi terpulang pada diri sendiri apa yang hendak di letakkan didalam lontong. 


Mana satukah hidangan yang korang nanti-nantikan?

Youth Connect mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca.