Pengantin India memilih sembilan jejaka Melayu sebagai pengapit


Pix - @fxrdausfauzi


By Nadhirah Sofea Rashid

Berbeza agama dan bangsa tidak menghalang sekumpulan remaja ini untuk meraikan hari bersejarah rakan mereka. 

Walaupun Malaysia dikenali sebagai negara unik, mempunyai pelbagai agama dan bangsa, peristiwa ini jarang sekali kita dengar berlaku di Malaysia. 

Baru-baru ini tular di laman sosial Twitter mengenai seorang lelaki berbangsa India yang memilih sembilan jejaka berbangsa Melayu sebagai pengapit pada majlis perkahwinannya. 

Bakal doktor, R.Shahtheswaran atau lebih dikenali sebagai Shathes, berkata tujuannya memilih sembilan jejaka Melayu itu ialah untuk dijadikan sebahagian daripada memori yang paling bersejarah dalam hidupnya.

Kata lelaki yang berusia 31 tahun itu juga, hubungan mereka umpama isi dengan kuku apabila kesemua mereka melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

“Kami memang tidak boleh berpisah. Merekalah sahabat saya yang paling rapat.

“Jarak umur kami sekitar lima tahun kerana saya masuk universiti lewat berbanding mereka. Saya juga ibarat abang paling tua dan mereka semua panggil saya ‘Anne’ (abang dalam Bahasa Tamil),” ujarnya ketika dihubungi Mstar.


Shathes dikhabarkan telah membelanjakan lebih kurang RM1,500 untuk membeli set pakaian tradisional untuk pengapit lelaki yang dipanggil ‘jippa’ (baju) serta ‘vetti’ (kain sarung). 

Kata Shathes, kesembilan rakannya itu bukan sahaja berperanan sebagai pengapit. 

Malahan, mereka memainkan peranan masing-masing dengan menjadi floor manager, deejay, melayan dan menari bersama tetamu bagi bersama-sama menjayakan hari bersejarah rakan mereka.

Shathes dan rakan-rakannya kini sedang menunggu panggilan penempatan di hospital untuk ‘housemanship’.

Shathes dan isterinya, Dr. R. Arunna Neelini mendirikan rumah tangga mereka Sabtu lalu, di Taman Sri Kluang, Johor.