Mantra ‘asal Najib jatuh’ perlu dihentikan


Pix- Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Sering kali kita mendengar akan janji manis yang ditabur oleh pemimpin-pemimpin politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

Antara yang selalu diperdebatkan ialah pendidikan percuma, hapus GST dan penghapusan tol.

Lebih enam bulan Pakatan Harapan telah mentadbir, namun kebanyakan janji–janji ini tidak dilaksana dengan jayanya.

Terbaharu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pembekuan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya bermula tahun hadapan.

Namun, apa yang dijanji dalam Buku Harapan jauh berbeza. Pada janji enam ialah penghapusan tol secara berkala, bermula dengan pengurangan kadar tol sehingga mampu untuk dihapuskan. 

Bak kata penasihat Menteri Kewangan Tony Pua,  sebelum mengambil alih kerajaan, kos pengambil alihan konsesi tol hanya melibatkan sebanyak RM25 bilion sahaja. 

Kenyataan beliau disangkal oleh mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan menyatakan bahawa kos penghapusan tol adalah sebanyak RM251 bilion yang pada ketika itu sangat tinggi.

Realitinya, kos penghapusan tol telah meningkat sebanyak RM400 bilion pada ketika ini, menyebabkan proses penghapusan tol sukar dilakukan.

Tetapi perkara ini tidak dicapai dan kini digantikan dengan pembekuan kadar tol yang telah mengecewakan kebanyakan rakyat sekali lagi.

Sebagai pengundi belia dan juga pengguna jalan raya, sudah tentu kita mengharapkan lebih daripada sekadar pembekuan kenaikan kadar tol.

Ini adalah kerana rata-rata masyarakat yang mengundi PH pada PRU14 adalah kerana manifestonya. Bukan sekadar menjatuhkan Najib.

Kebanyakan janji hanya tinggal janji selepas pelbagai alasan yang dilontarkan. Sama seperti kerajaan yang terdahulu.

Rakyat sudah lama dibelengu masalah kos hidup yang tinggi dan pembekuan kadar tol ternyata tidak mengubah apa-apa.

61 tahun sudah terlalu lama. Tanggal Mei 9 dianggap sebagai titik perubahan dalam sejarah Malaysia untuk menuju kearah negara lebih maju, bersih daripada cengkaman kleptokrasi.

Mantra ‘asal najib jatuh’ perlu dihentikan. Kerajaan yang mengangkat terma ‘Malaysia Baru’ hendaklah proaktif dalam membimbing negara dan bukanlah megikut atau hanya menyambung usaha daripada kerajaan yang lepas.