Hak bersuara hak semua


Syed Saddiq menyelar beberapa ketua bahagian PPBM


By Nadhirah Sofea Rashid

Ternyata perubahan yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia semakin pudar apabila budaya politik lama yang ditolak telah mula diangkat semula dalam Malaysia Baru.

Kini, rakyat Malaysia sedang menyaksikan pertelingkahan pendapat yang hangat antara Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Syed Saddiq dan ketua - ketua bahagian.

Kenyataan Syed Saddiq yang menyelar tindakan perwakilan yang menjadikan isu pemberian kontrak dan jawatan sebagai tajuk perbahasan Ahad lalu tidak disenangi beberapa ketua bahagian parti tersebut.

Seperti yang berlaku dalam parti yang memegang kerajaan lepas, pemuda seolah-olah tidak mempunyai hak untuk bersuara.

Ini dilihat apabila beberapa ketua bahagian merasa marah dan mendesak agar Syed Saddiq dibuang parti hanya kerana dia tidak bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden itu sama seperti apa yang berlaku pada kerajaan yang lepas. 

Ada yang sehingga mahu melempang...

Pasti segelintir rakyat tertanya-tanya, adakah ini satu budaya yang sihat? Mana pergi perubahan yang dicanang sebelum pilihan raya?

Mereka seharusnya menggunakan peluang ini untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan lepas.

Kehadiran anak muda dalam sesetengah parti seakan-akan hanya untuk meraih undi anak muda ketika pilihan raya. 

Kebanyakan sayap pemuda dalam parti politik tidak diberi peluang sama seperti yang lebih ‘senior’ dalam memberi hujah dan pendapat.

Mereka terus didiamkan setiap kali ingin membahaskan perkara-perkara yang berbangkit dengan alasan kononnya akan mencalarkan imej prestij parti. 

Budaya sudah terang lagi bersuluh ini tidak patut diamalkan sekiranya parti Bersatu mahu kekal dalam pentadbiran negara.

Rakyat kini sudah bijak memilih dan mampu mengubah kerajaan seperti yang dapat dilihat pada pilihanraya yang lepas.

Pentadbir negara pada ketika ini sama ada sudah lupa akan kuasa rakyat untuk mengubah atau terlalu sibuk memikirkan kepentingan parti sehingga rakyat dilupakan.

Anak–anak muda kini mempunyai potensi yang tinggi dan amat berdedikasi dalam pelbagai bidang.

Mereka perlu diberi hak untuk menyuarakan pendapat dan budaya ‘seniority’ ini perlu dihapuskan.