Pendigitalan buku: Bersediakah kita?


Pix- Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Bagi mengurangkan masalah beg berat, Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil insiatif untuk menggantikan buku teks kepada buku teks digital bagi semua pelajar sekolah menengah menjelang tahun 2022.

Untuk permulaan, buku teks digital ini akan digunapakai oleh pelajar menengah rendah, Tingkatan 1,2 dan 3 bermula tahun ini.

Sejumlah 495 buku teks telah diformatkan ke dalam bentuk PDF dan akan digunakan berasaskan internet melalui 'virtual learning environment' (VLE) dibawah projek 1BestariNet yang dipimpin oleh Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata inovasi pendigitalan buku teks membolehkan pelajar mendapatkan pengetahuan melampaui bilik darjah serta dapat mengurangkan penggunaan kertas bagi mencetak buku teks sekaligus dapat mengurangkan indeks penggunaan kertas negara. 

Pelbagai reaksi yang dilontarkan ke atas perubahan ini. Ada yang setuju dan tidak kurang juga dengan pihak yang tidak bersetuju.

Yang menjadi persoalannya, adakah tahap sistem sekolah di negara kita sedia untuk kearah ‘paperless’? 

Mungkin ada beberapa sekolah sudah maju dengan pelbagai kemudahan digital tetapi bagaimana pula dengan sekolah-sekolah pedalaman?

Adakah guru-guru sudah bersedia dengan perubahan ini?

Youth Connect sempat untuk menanyakan beberapa ibu bapa tentang pendapat mereka mengenai perubahan ini.

Ahmad Sabri Mat, bapa kepada seorang pelajar tingkatan 2, menyifatkan pendigitalan buku itu satu langkah ke hadapan tetapi banyak aspek perlu diambil kira.

“Keupayaan ibu bapa menyediakan tablet, telefon pintar atau komputer perlu diambil kira. Bukan semua ibu bapa mampu. 

“Kalau satu keluarga tu ada tiga anak yang masih bersekolah macam mana? Banyak duit perlu diguna untuk membeli gadget sahaja,” ujarnya.

Bagi Qamariah Ahmad, ibu seorang pelajar Tingkatan 3, terdapat lebih banyak keburukan daripada kebaikan dengan pendigitalan buku ini.

“Sebagai contoh, guru-guru bakal terbeban dengan masalah-masalah yang bakal timbul seperti kehilangan atau kecurian gadget. 

“Ya, memang betul dapat menyelesaikan masalah beg berat, namun banyak lagi aspek perlu diambil kira.

“Bagaimana pula dengan jaringan internet? Bukan semua sekolah ada jaringan internet yang laju. Belum kira dengan sekolah pedalaman lagi,” ujar Qamariah. 

Ibu seorang pelajar Tingkatan 1, Azizah Majid, pula risau penggunaan buku digital ini akan merosakkan kesihatan mata anaknya.

“Kita sedia maklum bahaya gadget jika digunakan berterusan. Penggunaan gadget yang terlalu lama dalam kelas mungkin menjejaskan kesihatan mata. Saya yakin ramai ibu bapa juga risau akan masalah ini,” ujarnya. 

Tidak dinafikan pendigitalan buku merupakan satu langkah ke hadapan dalam dunia serba moden ini. 

Inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan sememangnya merupakan langkah yang baik untuk mengetengahkan kaedah pendidikan yang lebih menyeluruh.

Namun begitu, terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira seperti aset-aset teknologi dan keselamatan untuk memastikan kaedah ini kekal serta boleh dikembangkan dengan lebih menyeluruh.