Jangan bertindak melulu...


Bangunan pangsapuri di Bandar Jelutong itu dilihat memaparkan lambang salib. Gambar daripada Twitter.


By Nadhirah Sofea Rashid

Baru-baru ini gempar di media sosial tentang kewujudan lambang salib gergasi di tengah-tengah Bandar Jelutong, Pulau Pinang yang kelihatan dipamerkan pada sebuah bangunan baru di kawasan berkenaan.

Perkara ini menjadi perbualan hangat antara netizen sepanjang minggu di mana segelintir mereka menggelarkan ia sebagai satu tindakan yang tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi.

Tambahan lagi di era media sosial kini, perkara sensitif ini tular dengan pantas tanpa penjelasan yang kukuh selain provokatif. 

Sesetengah pihak dilihat cepat melatah tentang isu ini tanpa membuat sebarang semakan lanjut mengenai kesahihan isu tersebut.

Hakikatnya, pihak pemaju telah pun memberi penjelasan bahawa mereka tidak mempunyai niat untuk memasang lampu yang mempamerkan lambang salib seperti yang didakwa.

Sebaliknya, lampu-lampu tersebut disusun dalam bentuk karakter mandarin yang bermaksud 'ong' atau tuah.

Tidak dapat dinafikan, rakyat Malaysia hidup dengan pelbagai bangsa dan agama. 

Dan majoriti rakyat Malaysia merupakan penganut agama Islam sekaligus menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara.

Oleh yang demikian, pihak berkenaan haruslah lebih sensitif dan mengelakkan sebarang perkara yang boleh membangkitkan isu-isu sensitif seperti ini.

Mereka sebaliknya perlu peka kepada agama rasmi negara.

Selain itu, masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak cepat melatah dan tidak bertindak menyebarkan isu sensitif secara melulu.

Hakikatnya, bangunan yang tular itu belum disiapkan sepenuhnya. Jadi imej yang menunjukkan lambang salib itu mungkin telah disalahanggap. 

Apabila isu seperti ini digembar-gemburkan tanpa sebarang penyelidikan, berlakulah kekecohan sesama masyarakat. 

Oleh yang demikian, masyarakat perlu tunggu penjelasan daripada pihak bertanggungjawab. Mungkin terdapat kesalahan teknikal atau salah faham.

Perkara seperti ini perlulah diselidik dahulu sebelum membuat sebarang tindakan. 

Pihak berkuasa perlu menyiasat sama ada perkara ini sengaja ditimbulkan atau secara kebetulan sahaja.

Apa yang lebih penting adalah sikap toleransi dan menghormati agama masing-masing agar keharmonian negara tetap terpelihara.

Masyarakat dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbaur provakatif terhadap agama lain kerana ia hanya dapat mengeruhkan lagi keadaan.

Setiap masyarakat perlu memainkan peranan yang penting untuk peka dan menghormati sensitiviti agama masing-masing.