Haneesya Hanee Bukan Lagi Juara Dewi Remaja


Sumber Instagram


By Syafiqah Azman

Selepas kecoh di laman sosial mengenai video tular melibatkan juara Dewi Remaja 18/19 yang didakwa clubbing sambil minum arak bersama teman-temannya, gelaran Dewi Remaja yang disandang Haneesya Hanee selama 72 jam itu telah ditarik balik oleh pihak penganjur. 

BACA: Video Mirip Haneesya Dewi Remaja Minum Arak Tersebar, Siapa Dalangnya?

Keputusan itu dibuat oleh pihak NU Ideaktiv Sdn. Bhd selaku pemilik jenama Dewi Remaja pada tengah hari semalam setelah Haneesya Hanee mengakui kesilapannya yang disiarkan secara langsung menerusi laman rasmi Facebook Majalah Remaja. 

Ketika sesi sidang media tersebut, Haneesya turut menyerahkan semula mahkota, trofi dan juga replika berbentuk cek yang merupakan hadiah kemenangannya pada Ahad lalu.  


Sepanjang penganjuran Dewi Remaja, ini merupakan kali pertama penarikan balik gelaran Dewi Remaja dilakukan. 

Menerusi laman rasmi Instagram Majalah Remaja, penganjur ada memuat naik beberapa gambar dan video ketika majlis sidang media berlaku. 


“Hanee nak meminta maaf kepada semua orang atas kesilapan Hanee dan kepada mereka yang sentiasa menyokong Hanee terima kasih banyak-banyak,” kata Hanee menerusi video tersebut. 

Benar apa yang dilakukan Hanee itu adalah salah sebagai seorang gadis bawah umur, akan tetapi rata-rata netizen menyatakan sikap pihak penganjur yang mengumumkan penyerahan semula juara Dewi Remaja secara langsung di Facebook adalah sedikit keterlaluan. 


Terbaru pengacara tersohor negara, Datuk Aznil memuat naik satu gambar di ruangan Instagram story dan memberikan nasihat kepada Hanee atas apa yang berlaku terhadap dirinya. 


“Hanee awak masih terlalu muda, kesilapan pasti berlaku. Cuma bagaimana kita bangun dan membetulkan kesilapan lalu adalah langkah seterusnya,” tulis Aznil. 

Betul tu, buat Hanesya Hanee, tabahkan diri dan jangan bersedih kerana semua orang melakukan kesilapan. Bangkit dan buktikan kepada mereka yang anda mampu menjadi yang lebih baik.