Kasihani kerajaan atau rakyat?


Menteri mahu rakyat kasihani kerajaan menanggung kos yang tinggi


By Nadhirah Sofea Rashid

Air yang merupakan keperluan asasi manusia kini terpaksa dinaikkan tarifnya ekoran kos uitiliti air yang ditanggung oleh kerajaan yang sangat tinggi. 

Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, kenaikan tarif air perlu demi kesejahteraan rakyat.

“Kebajikan rakyat merupakan keutamaan kerajaan, namun dalam aspek kenaikan tarif air ini, ia merupakan perkara yang terpaksa dilakukan demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Rakyat yang mengundi untuk kerajaan hari ini pastinya mengharapkan perubahan dan bukannya kenaikan harga barang atau kenaikan tarif air. 

Apabila berlaku kenaikan tarif air atau elektrik, secara automatik harga barangan keperluan termasuk makanan dan minuman akan turut naik. 

Perkara ini menjadi lebih buruk apabila ada beberapa peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dengan alasan tarif air sudah naik. 

Mana kebajikan yang terjaga?

Dr Xavier juga berkata rakyat perlu mengasihani kerajaan yang menanggung kos utiliti yang terlalu tinggi dan kenaikan tarif itu wajar sebagai satu tanggungjawab kepada kerajaan.

Siapa yang patut mengasihani siapa? Sudah lupakah apa yang dijanji sebelum pilihanraya?

Tanggungjawab seperti ini tidak patut digalas oleh rakyat sebaliknya kerajaan yang berkhidmat membekalkan keperluan kepada rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional sering dikaitkan dengan slogan "Janji Dicapati" tetapi sekarang siapa yang dicapati?

Sebelum pilihan raya, rakyat ditaburi dengan janji-janji manis dimana kerajaan hari ini akan mengurangkan harga barangan keperluan, menghapuskan tol dan bermacam lagi.

Namun, tiada satu pun yang membuahkan hasil.

Tatkala dihimpit pelbagai kenaikan harga barangan, kenaikan tarif air bukanlah sesuatu yang diidamkan oleh rakyat.

Rakyat hanya mahu harga barangan keperluan yang stabil dan bukanlah diuji dengan satu lagi kenaikan tarif air.

Mungkin kerajaan terlupa bahawa tanpa rakyat yang membuang undi, mereka mungkin tiada di tempat yang mereka duduki sekarang.