Emma Maembong Mohon Maaf Buka Tudung


Emma Maembong mohon maaf kerana buka tudung


By Syafiqah Azman

Kecoh di laman sosial apabila gambar tidak bertudung pelakon wanita muda, Emma Maembong bersama Syed Abdullah yang dikatakan teman lelakinya viral semalam. 

Susulan mengenai penularan gambar tersebut, Emma memohon maaf di atas kekhilafannya membuka tudung, namun dia menafikan bahawa wanita yang duduk di celah kangkang Syed Abdullah adalah dirinya. 


Mengakui kesilapannya, Emma menjelaskan yang tindakannya itu merupakan satu kesilapan dirinya dan menegaskan supaya jangan menyalahi mana-mana pihak terutamanya kawan-kawannya. 

“Jangan salahkan kawan-kawan atau salah kan siapa-siapa. Sebab semua ni datang dari diri saya. Memang salah saya. Saya yang terlalai,” tulis Emma di ruangan Instagram storynya. 


Walau bagaimanapun, Emma menafikan yang gambar seorang gadis di celah kangkang Syed adalah dirinya dan memohon maaf apabila ada netizen yang bertanyakan mengenai hal tersebut di ruangan komen. 



Berikutan dengan penularan gambar tersebut, Syed Abdullah, 30, yang merupakan abang kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, membuat kenyataan dengan memuat naik satu posting di Instagram miliknya. 

“Saya mohon maaf di atas kesalahan yang telah saya lakukan dan kepada pihak yang terlibat. Ini semua salah Syed & kecuaian Syed seorang. Jangan hubung kait kesilapan Syed dengan keluarga Syed & rakan-rakan Syed,” tulisnya menerusi kapsyen gambar. 

Tidak ketinggalan, ramai rakan-rakan artis yang memberi kata-kata semangat kepada Emma di ruangan komen di Instagram.


Rata-rata netizen yang memberi nasihat kepada Emma di ruangan komen diterima baik olehnya dan Emma berterima kasih serta memohon maaf sekali lagi. 

Emma dikatakan menjalinkan hubungan mesra bersama Syed Abdullah apabila Emma memuat naik gambar mereka bersama ketika melancong di Dubai. 

Kepada mereka yang menyebarkan gambar tersebut, sudah-sudah la tu membawang dan menyebarkan perkara yang tak sepatutnya. Setiap manusia tidak lari dari melakukan kesilapan dan apa yang penting adalah bagaimana kita memperbaikinya.