Wanita dalam video tular Liverpool rupanya seorang rakyat Malaysia


Tular mengenai kelibat wanita berhijab dalam sebuah video - Gambar daripada Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Tanda tanya mengenai seorang wanita yang dilihat sedang memberi pemeriksaan kesihatan ke atas pemain pertahanan Liverpool, Joe Gomez yang tular di media sosial akhirnya terjawab.

Figura wanita berhijab itu rupa-rupanya seorang rakyat Malaysia, Aleah Mohammad yang sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang fisiologi kardiovaskular di Universiti Liverpool John Moores. 

Dalam video ‘Inside Training: Energy-sapping bleep tests | Keita, Fabinho & Milner’ yang berdurasi 10 minit 26 saat itu, kelibat Aleah dilihat muncul pada minit 5.10 saat.


Menceritakan bagaimana ibu kepada tiga orang cahaya mata itu boleh menyertai pasukan perubatan Liverpool, Aleah, 37 berkata, ia bermula selepas salah seorang penyelia, Profesor Dr John Somauroo menawarkannya untuk melakukan ujian saringan kardiovaskular bagi skuad Reds.

“Pada akhir tahun 2015, saya mula menjalankan kajian PhD saya berkaitan kardiovaskular untuk pasukan Liverpool Ladies.

“Kemudian, Profesor Dr John Somauroo, yang juga merupakan pakar perunding kardiologi untuk Persatuan Bola Sepak (FA) England dan Liverpool menawarkan saya untuk sama-sama terlibat melakukan ujian saringan kardiovaskular bagi kelab ini.

“Sejak itu, saya mula bersama melakukan ujian saringan untuk Liverpool,” katanya kepada Utusan Online. 


Mengulas lanjut, Aleah berhasrat menabur bakti kepada arena sukan Malaysia apabila pulang ke tanah air hujung tahun ini.

“Saya merancang menabur bakti serta berkongsi penge­tahuan dan kemahiran dengan agensi sukan di Malaysia, persatuan sukan atau persa­tuan bola sepak supaya polisi perubatan diperkemaskan dan dipertingkatkan ke suatu tahap yang lebih baik,” jelasnya.

Apa yang lebih mencuit hati ialah apabila sebenarnya Aleah merupakan seorang peminat bola sepak pasukan Manchester United, musuh ketat Liverpool. 

Video yang tular itu mendapat lebih dua juta tontonan dan turut mendapat pujian daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Rata-rata netizen meluahkan rasa bangga terhadap Aleah kerana berjaya sehingga ke tahap ini. Tahniah Aleah!