Bentuk bumi lebih kepada bentuk telur, bukan flat!


Penyanyi nasyid cabar angkasawan negara - Gambar daripada Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Bumi ni bulat ke flat?

Nampaknya masih ada yang percaya bahawa bumi ini berbentuk rata.

Seperti penyanyi nasyid, Suhaimi Saad yang mencabar angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor untuk bersumpah mengatakan bumi ini berbentuk sfera. 

Pada masa yang sama, beliau berjanji akan menghentikan kajiannya  dan menolong berdakwah kepada golongan ‘flat earth’ yang mempercayai bentuk bumi ini rata.


Sheikh Muszaphar pagi ini tampil memberi penjelasan mengenai bentuk sebenar bumi seperti yang menjadi keraguan segelintir pihak menerusi akaun Facebooknya.


Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, penjelasan Sheikh Muszaphar dipercayai sebagai mencahut cabaran penyanyi itu.

Menurut beliau, sebagai Angkasawan Islam yang kesembilan menerokai angkasa lepas, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk  menceritakan fakta sebenar.

Doktor ortopedik itu berkongsi beliau terlalu kagum melihat angkasa lepas sehingga sukar untuk digambarkan dengan perkataan.

Berdasarkan pengalaman selama 12 hari di angkasa lepas pada 2007,  beliau melihat bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, geo-sfera selain tertumpu di kutub dan membonjol di garisan Khatulistiwa.

"Bentuknya bukan seperti bola, lebih seperti telur. Setiap orang harus ke angkasa lepas jika diberi peluang.

"Ia mengubah perspektif anda mengenai kehidupan secara total, menjadikan anda lebih yakin dengan Pencipta. Pengalaman di angkasa lepas sangat mengagumkan.

"Sukar sebenarnya untuk mengubah pemikiran golongan ‘flat earth’.

"Tetapi saya di sini berkongsi pengalaman terhadap apa yang saya lihat," kata Sheikh Muszaphar dalam entri yang dimuat naik pagi tadi.

Sheikh Muszaphar turut menceritakan pengalaman mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari.

"Setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam mengelilingi orbit dengan kelajuan 27,000km/jam.

"Laungan Azan kedengaran seketika. Bibir terkumat kamit terpegun dengan kebesaran Ilahi. Melihat Bumi dengan mata sendiri. Degupan jantung berhenti seketika.

"Meremang bulu roma. Mata tidak terkebil melihat kebesaran Maha Pencipta. Amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasa lepas," katanya lagi.

Sementara itu, setelah mendapat penjelasan daripada angkasawan pertama negara, Suhaimi tetap dengan pendiriannya bahawa bumi berbentuk rata dan mendakwa Sheikh Muszaphar gagal untuk bersumpah seperti yang dia kehendaki.

"Apa pun, terima kasih doktor ya, sebab sudi respon," kata Suhaimi hari ini menerusi akaun Facebooknya yang menggunakan nama Mosus.

Dia turut menambah tanda pagar #tiadasumpah #cumarespon dan #takfahammaksudsumpah di hujung ayatnya. 

Rata-rata netizen mengecam dan menganggap Suhaimi terlalu ego.

Suhaimi juga sebelum ini terpalit dengan kontroversi dimana dia tidak mempercayai vaksin kepada anak-anak dan kepentingan menghantar anak ke sekolah.