Nicol David Bersara


Source: PSA World Tour


By Syafiqah Azman

Namanya yang tidak asing lagi dalam dunia skuasy ini menjadikan beliau seorang tokoh yang disegani dalam sukan tersebut. Setelah dua dekad berkecimpung dalam sukan skuasy, Datuk Nicol Ann David, mengumumkan yang beliau bakal bersara semalam. 


Menerusi satu perkongsian di laman sosial Twitter rasminya, Nicol memuat naik satu posting menyatakan rasa teruja dan gembira diatas berita tersebut. 

“It’s official! I am truly happy and excited to be sharing with everyone that I am retiring in June,” tulisnya. 

Bersama dengan tanda pagar #thedreamremains, Nicol mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai di atas segala sokongan yang diberikan kepadanya selama 20 tahun ini. 

Hampir saban tahun merangkul gelaran juara sehingga digelarkan pemain profesional dunia, Nicol mengambil keputusan untuk bersara pada bulan Jun hadapan selepas Jelajah Profesional Squash Association (PSA) selesai. 

Kalau anda semua nak tahu, ratu skuasy negara ini pernah meraih kedudukan pemain nombor satu dunia selama 9 tahun berturut-turut yang bermula dari tahun 2006 sehingga 2015! 

Selain daripada meraih 8 kemenangan dalam World Championship juga, wanita yang berasal dari Penang ini juga pernah meraih lima kemenangan dalam British Open Skuasy, dua pingat emas dalam Sukan Komanwel, lima pingat emas dalam Sukan Asia dan tiga pingat emas di Sukan Dunia. 

Ternyata, tidak salah lagi gelaran ratu skuasy dunia menjadi gelaran beliau. 

Walaupun zaman kegemilangan Nicol di ranking dunia PSA berakhir pada September 2015, beliau telah memecah rekod sejarah dengan memegang kejuaraan dunia paling lama iaitu top 5 selama 143 bulan dan top 10 selama 177 bulan! 

Bukan itu sahaja, malah beliau telah memenangi 81 gelaran, telah ke final sebanyak 102 kali dan juga memenangi 567 dari 680 perlawanan. Menerusi laman rasmi PSA World Tour, kemenangan terbarunya adalah di Ciudad de Floridablanca pada Mac, 2017 dimana beliau telah menewaskan pemain skuasy dari Amerika, Olivia Blatchford Clyne. 



Rata-rata rakyat Malaysia mengucapkan rasa terima kasih kepada tokoh skuasy negara ini kerana telah mengharumkan nama negara. Tidak ketinggalan, Khairy Jamaluddin yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan dan selebriti, Adibah Noor turut mengucapkan terima kasih kepada Nicol. 

Kepada Datuk Nicol Ann David, terima kasih yang tidak terhingga dengan titik peluh dan perjuangan anda selama ini yang telah mengharumkan nama negara! #thedreamsremain