PRK Semenyih: Nik Aziz mahu selesai masalah anak muda


Nik berkata akan tetap berkhidmat untuk penduduk Semenyih jika tidak memenangi PRK ini.


By Nadhirah Sofea Rashid

Meletakkan anak muda sebagai calon wakil rakyat menjadi satu trend dalam era politik Malaysia.

Hadirnya dua calon belia dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih telah menjadikan pertarungan empat penjuru itu lebih menarik.

Golongan muda yang dijadikan calon terus mendapat perhatian daripada penduduk Semenyih, khususnya daripada golongan itu sendiri.

Menyedari kepentingan anak muda dalam masa depan negara, Calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul bersemangat jitu untuk menyuarakan dan menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu golongan belia masa kini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga tidak berasa malu untuk mengaku dirinya tidak habis melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

Tiada ijazah tidak menjadi penghalang bagi belia berumur 25 tahun ini untuk tetap berkhidmat untuk rakyat.

Antara isu yang diperjuangkan oleh Nik Aziz adalah isu hutang pendidikan.

Menurutnya, golongan belia tidak seharusnya dibebankan dengan hutang sebaik sahaja habis pelajaran.

“Anak muda kini seolah-olah tidak diberi ruang untuk hidup selepas terus dibebankan dengan hutang pendidikan sejurus tamat pengajian.

“Isu ini telah lama diperjuangkan namun sampai sekarang kita tidak nampak apa-apa hasil. Inilah apa yang saya akan perjuangkan demi kesejahteraan anak muda Malaysia,” kata Nik Aziz.

Dia juga ingin menyelesaikan harga rumah yang terlalu mahal sehingga tidak mampu dimiliki oleh golongan belia.

"Ramai belia dah bekerja bertahun-tahun pun masih tak dapat nak beli rumah sebab harganya yang terlalu mahal dan tidak masuk akal. 

"Ada yang sudah bekeluarga pun terpaksa menyewa rumah. Sewa pun mahal.

"Justeru itu, saya ingin menggesa kerajaan untuk mengawal harga rumah agar mampu dibeli oleh semua," ujarnya.

Gaji minima juga turut menjadi isu yang diperjuangkannya.

"Gaji minima terlalu rendah. Tak setampil dengan kos hidup yang sangat tinggi dan tidak padan dengan kelayakan dan kemampuan.

"Inilah sebabnya saya perjuangkan isu gaji minima kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada anak muda sahaja tapi kepada seluruh rakyat Malaysia," tambahnya.

Nik Aziz yang telah menetap di Semenyih selama 11 tahun, juga telah mengambil Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai 'role model'.

"Saya suka cara pimpinan Tuan Guru yang tidak bersifat perkauman dan oleh itu saya akan mengambil inspirasi daripada beliau.

"Bagi saya, bangsa Melayu, Cina atau India tetap sama di mata Tuhan. Jadi kenapa kita kena bermain politik perkauman?"

Katanya, dia banyak menerima aduan daripada golongan belia yang bekerja di luar Semenyih dari segi pengangkutan awam.

"Saya rasa macam Semenyih ni dianaktirikan oleh kerajaan Selangor. Soalnya kita tiada MRT, LRT, malah bas percuma Selangorku pun tidak mahu masuk ke Semenyih. 

"Walaupun dah tiga penggal kerajaan Selangor memerintah, masih tak nampak ada peluang untuk menambah pengangkutan awam di sini.

"Sekiranya saya berjaya dalam PRK yang akan datang ini, saya akan berusaha untuk menambah pengangkutan awam supaya dapat dinikmati penduduk Semenyih.

Walau bagaimanpun, Nik Aziz juga berkata akan tetap berkhidmat untuk penduduk Semenyih jika tidak memenangi PRK ini.

"PSM telah lama berkhidmat di Semenyih dan walaupun telah kalah sebanyak tiga kali, kami tetap meneruskan pusat khidmat ini.

"Saya bertanding kerana PSM telah menjalankan khidmat masyarakat di sini dan kami nak beri satu lagi alternatif kepada rakyat yang telah muak dengan dua parti politik gergasi iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional," katanya.

Nik Aziz juga berkata dia ingin menjadi wakil rakyat yang pro-rakyat sekiranya terpilih.

"Saya tak nak jadi wakil rakyat yang berpihak kepada kerajaan atau pembangkang tetapi kepada rakyat.

"Kalau pembangkang ada usulkan cadangan yang lebih baik untuk rakyat saya boleh sokong.

"Tapi kalau mereka memberi cadangan yang tidak menguntungkan rakyat kami akan lawan tidak kira kerajaan mahupun pembangkang. Kami akan ambil posisi untuk kekal neutral," tegasnya.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas Bakhtiar Mohd Nor daripada PPBM meninggal dunia Jan 11 lalu akibat serangan jantung.

PRK Semenyih ini melihat pertarungan empat penjuru membabitkan calon PH Muhammad Aiman Zailani, calon BN Zakaria Hanafi, calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang'.