Kenapa masih ada golongan menolak vaksin?


Sekiranya jumlah kanak-kanak tidak diberi imunisasi meningkat, makin banyak kes penyakit berjangkit. - Gambar hiasan


By Nadhirah Sofea Rashid

Penularan pemahaman anti-vaksin semakin tinggi sehingga mencapai tahap merisaukan.

Golongan anti-vaksin sering memberi hujah, pendapat dan teori berunsurkan keagamaan iaitu lebih kepada tawakal kepada Tuhan.

Namun, mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu mungkin memberi kesan buruk kepada orang lain.

Mana tidaknya, sekiranya jumlah kanak-kanak tidak diberi imunisasi meningkat, makin banyak kes penyakit berjangkit.

Sebagai bukti, timbul pula penyakit difteria yang telah lama tidak kita dengar sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak di Johor.

Tidak dinafikan, mengikut ajaran agama, kita harus bertawakal kepada tuhan.

Tetapi, tidak semestinya kita menolak sebarang ikhtiar bagi keselamatan diri sendiri dan orang sekeliling. 

Yang anehnya, golongan anti-vaksin ini terdiri daripada golongan yang berpendidikan tinggi. 

Jadi, apa sebab golongan ini menolak vaksin?

Berikut merupakan alasan-alasan yang sering didengar: 

1. Mereka percaya bahawa vaksin itu haram

Ada sesetengah masyarakat mendakwa suntikan tersebut berasal daripada sumber yang haram seperti perut khinzir, hati monyet dan bahagian haiwan yang lain. 

Dakwaan ini tidak benar sama sekali kerana vaksin sebenarnya halal.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sudah pun mengeluarkan fatwa bahawa vaksin yang dihasilkan di negara ini halal dan telah mendapat kelulusan daripada semua pihak.

Justeru, golongan anti-vaksin yang membawa perkara itu kepada perdebatan diminta berhenti berbuat demikian, kerana jika suntikan vaksin dihindar semata-mata kerana terpengaruh dengan pandangan itu, ia bakal menjejaskan imuniti kanak-kanak terlibat apabila mereka dewasa.

2. Mereka percaya vaksin ada kesan sampingan yang teruk

Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa suntikan vaksin mempunyai kesan sampingan.

Namun, kebanyakkan kesan-kesan sampingan itu hanyalah yang ringan dan hanya mengambil masa satu atau dua hari untuk hilang.

Ruam, demam, kemerah-merahan, bengkak, pedih di kawasan suntikan.

Kesan sampingan ini juga boleh menjadi teruk. 

Oleh itu, ibu bapa perlu segera bertindak mendapatkan nasihat pediatrik apabila mendapati anak-anak menunjukkan tanda-tanda aneh selepas mendapatkan suntikan vaksin. 

3. Mereka percaya selamat sekiranya anak orang lain sudah divaksin

Sesetengah masyarakat percaya anak mereka selamat dengan tidak menyuntik apa-apa jenis vaksin sekiranya ada anak orang lain telah disuntik.

Hakikatnya, perbuatan mereka tidak mengambil sebarang imunisasi ini sebenarnya memudaratkan orang lain.

Ini dipanggil imuniti berkumpulan.

Jika semakin ramai mempunyai mentaliti seperti anti-vaksin, lama kelamaan kesan imuniti ini akan hilang. 


4. Vaksin agenda Yahudi untuk menyesatkan

Setiap kali isu vaksin dibincangkan oleh pakar-pakar perubatan, ada sahaja yang mendakwa bahawa vaksin itu sebahagian daripada agenda Yahudi.

Rata-rata mereka membaca dakwaan tersebut daripada sumber-sumber yang tidak berwibawa.

Sedangkan, semua kegusaran mereka itu sudah pun dijawab oleh pakar-pakar yang lebih terlatih.

Golongan anti-vaksin telah menjadi faktor utama tahap imunisasi negara merosot.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bahawa kematian seorang kanak-kanak di Johor akibat tidak disuntik vaksin perlu menjadi tamparan kepada masyarakat.

“Pengambilan vaksin merosot sejak beberapa tahun lalu, apabila kita tak capai 95% imunisasi, kita takut yang tidak diimunisasi akan berakhir seperti apa yang berlaku di Johor.

“Bukan mudah untuk melaksanakan pengambilan vaksin secara mandatori, ada pihak yang kurang bersetuju dan menggunakan hak untuk tidak divaksin. Kalau pandangan sebegini diikuti orang lain, ia akan menjadi sukar untuk ditangani,” katanya.

Jadi, apakah alasan anda untuk menolak vaksin? 

Bukankah mengambil vaksin merupakan satu ikhtiar untuk melindungi keluarga?