Misteri Dilaila Sengaja Psiko Penonton Dengan Kontro-2-Versi?


Misteri Dilaila tampil dengan teka-teki


By Nabil Rahim

Genre : Misteri, thriller

Pengarah : Syafiq Yusof

Tarikh tayangan : 21 Februari 2019

Masa : 1 jam 22 minit

Kecoh di media sosial baru-baru ini  apabila netizen tak henti-henti membincangkan filem terbaru 'Misteri Dilaila’ arahan Syafiq Yusof. Pelbagai reaksi dikongsi , ramai yang memberi pujian dan tidak kurang juga yang meluahkan rasa tidak puas hati tentang pengakhirannya. 

Ada yang pening sebab banyak plot twistlah, pengakhiran tergantunglah dan berbeza pendapat dengan yang lain. Mulalah keluar macam-macam teori berkenaan filem ‘Misteri Dilaila’ ini, dah serupa filem komik pula.

‘Misteri Dilaila’ merupakan filem ke-8, arahan pengarah muda Syafiq Yusof yang mengisahkan tentang Jefri (Zul Ariffin) bersama isterinya, Dilaila (Elizabeth Tan) bercuti di rumah pusaka di Fraser Hill. 


Namun, pergaduhan kecil tercetus pada malam pertama di sana, dan Jefri mendapati Dilaila hilang melarikan diri pada keesokan paginya. Jefri mula runsing dan bertemu dengan Inspektor Azman (Rosyam Nor) yang akan membantu mencari. Tanpa diketahui, seorang Imam (Namron) berkata isterinya telah dijumpai, namun Dilaila yang dibawa pulang bukanlah isteri sebenar Jefri, akan tetapi menyerupai wanita lain (Sasqia Dahari). Maka bermulalah teka-teki permainan minda yang penuh misteri. 

Apa yang anda tonton dalam trailer nya, itu hanya 20% dari keseluruhan jalan cerita. Perjalanan masih jauh lagi.


Syafiq Yusof memang dikenali dengan gelaran raja plot twist seperti filem-filemnya sebelum ini ‘SAM’ (2012), ‘Desolasi’ (2016), ‘Abang Long Fadil 2’ (2017) dan banyak lagi. 

Kelainan baharu kali ini, beliau menghidangkan satu sajian yang belum pernah dihasilkan. Satu filem, dua versi pengakhiran. Nampak macam tak masuk akal, tapi memang benar-benar ditayangkan di panggung. Gilakan! Idea gila inilah yang berjaya mengutip RM4 juta dalam tempoh 5 hari tayangan. Padu beb! 


Jalan cerita kedua-dua versi ini sama sahaja. Babak 30 minit terakhir atau ‘the third act’ yang membezakan kedua-dua versi. Bagi pandangan penulis, versi 1 pengakhirannya tidak dapat dijangka dengan plot twist yang betul-betul buat satu panggung tercengang. 

Manakala versi 2 pula lebih gila dan psiko, serta mood seramnya lebih tinggi berbanding versi 1.  Susah nak pilih versi mana lagi best, sebab kedua-duanya ada X-Factor yang tersendiri. Walaupun jalan cerita sama dan pengakhiran berbeza, namun akhirnya setiap pengakhiran di dalam kedua-dua versi itu  yang telah menentukan keseluruhan plot setiap versi itu sendiri. Boleh dikatakan ini satu taktik genius si pengarah dalam karya kali ini. 


Syafiq memilih genre misteri, thriller serta ditambah elemen seram, kerana penonton di Malaysia lebih tertarik dengan genre ‘horror’ sebagai satu elemen komersial dalam filem ini. 

Lihat saja dalam filem seram Korea sebagai contoh, bukan penceritaan hantu semata-mata yang menaikkan mood seram, tetapi susunan plot yang menarik dan luar jangkaan mampu membuatkan penonton terpaku didalam panggung, katanya dalam sebuah temubual. 

Tapi itu tidak cukup memuaskan lagi, jadi Syafiq inginkan suatu kelainan. Maka tercetuslah idea menghasilkan 2 versi pengakhiran. Maka plot twist itu bukan setakat di dalam filem, malah berpanjangan hingga ke luar cerita. 


Namun, tidak semua berpuas hati dengan gimik yang dibawa dalam filem ini. Adakah tujuannya semata-mata untuk meningkatkan ‘marketing’? Hanya memikirkan keuntungan sahaja? Hingga memaksa penonton ke panggung sebanyak dua kali. 

Inilah kelainan yang ingin beliau cetuskan. Kerana tidak ada lagi penceritaan sebegini dalam arena perfileman tempatan. Pada asalnya Syafiq ingin memberitahu bahawa ‘Misteri Dilaila’ ini akan ada 2 pengakhiran selepas seminggu tayangan, tetapi netizen lebih pantas merungkai misteri. Jadi Syafiq terpaksa umumkannya lebih awal. Bagi penulis, tidak ada salahnya menonton kedua-dua versi, kerana keduanya hidup dengan kekuatan tersendiri pada pengakhirannya. Pergilah tonton kalau anda masih tertanya-tanya.

Satu perkara yang membuatkan penulis meremang bulu roma menonton filem ini ialah dari aspek muzik. Pujian harus diberikan kerana muzik yang dicipta melonjakkan rasa suspen lagi-lagi bunyi aneh biola dan cello. Nampak iras-iras muzik filem Insidious pun ada. Bukan itu sahaja, pilihan lagu klasik ‘Rasa Sayang’ nyanyian seniwati Siput Sarawak berjaya mencetuskan suasana seram persis filem-filem dari Indonesia dan Thailand. 


Dari segi lakonan, Zul Ariffin mencuri tumpuan dengan keberkesanan lakonannya. Kalau kebiasaannya Zul hanya memainkan watak lelaki romantik di dalam drama, kali ini mutu lakonannya tidak mengecewakan. 

Lontaran dialog beliau nampak natural dan tidak tertakluk hanya pada skrip. Lain pula kisah Rosyam Nor dan Namron, mungkin dalam filem ini lakonan mereka nampak tegang, tapi ada sebab mengapa karakter mereka dibentuk seperti itu.Tak sangka juga Sasqia Dahuri dapat berlakon watak Dilaila dengan baik. walaupun sebelum ini tak selalu dengar nama dia dalam mana-mana filem. 


Namun, ada satu perkara yang mencacatkan pengalaman menonton filem ini, iaitu dari aspek transisi satu babak ke babak yang lain. Walaupun ada kelainan berbanding filem-filem tempatan, namun efek transisi yang terlalu banyak membuatkan penulis berasa janggal dan tidak selesa. Kalau efek transisi itu tidak terlalu kerap, pengalaman menonton akan lebih memuaskan.

Boleh dikatakan ‘Misteri Dilaila’ ini mempunyai sebuah cinematic experience yang baru dan belum pernah dihasilkan dalam lembaran perfileman Malaysia. Walaupun rasa seperti tidak masuk akal, tapi filem tempatan sudah berada dalam arus kreatif dan berani dalam menghasilkan karya yang berkualiti. Harap-harap ada sambungan kepada ‘Misteri Dilaila’ lagi!

Rating: 8.2/10

p/s: Anda rasa tak pengakhirannya seakan-akan filem Karak (2011)? Atau The Prestige (2006)? Tapi ia bergantung kepada versi mana yang anda tonton.