Gadis jadi mangsa gangguan seksual guru memandu


Syazwani menasihati ibu bapa agar tidak menghantar anak mereka ke sekolah memandu ini - Gambar daripada Facebook


By Nadhirah Sofea Rashid

Sama seperti institut pengajian yang lain, guru di sekolah memandu juga harus mempunyai etika semasa mengajar. 

Walau bagaimanapun, malang menimpa seorang gadis apabila dia menjadi mangsa gangguan seksual ketika sedang belajar memandu. 

Tular di media sosial apabila Syazwani Aqilah, 18, seorang pelajar lepasan SPM berkongsi tentang gangguan seksual yang dialaminya di sebuah sekolah memandu.

Dia mendakwa, seorang lelaki bernama Cikgu Rosli mengeluarkan kata-kata lucah, meraba dan turut menjemputnya menonton wayang selepas tamat sesi pembelajaran.


Syazwani turut berkata dia tidak melawan balik kerana takut jika terjadi sebarang kemalangan.

Perkongsian Syazwani meraih pelbagai perhatian netizen sehingga muncul beberapa orang yang turut mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh guru tersebut.

Gusar dengan apa yang telah terjadi, Syazwani memohon di Facebooknya agar berkongsi kejadian supaya dia dapat mengumpul bukti dengan lebih kukuh.

Syazwani juga mendakwa dia tidak melaporkan insiden itu ke pihak sekolah kerana yakin aduannya tidak akan didengar.

"Pihak pengurusan tidak melayan saya dengan baik dan mereka juga bersikap sombong. Saya fikir mereka tidak akan layan aduan saya jika saya membuat laporan tentang gangguan seksual yang terjadi pada saya," ujarnya. 

Pembaca dinasihatkan agar segera membuat laporan polis sekiranya berlaku gangguan seksual tidak kiralah di mana sekali pun.