PH, bangunlah dari tidur!


Gambar daripada Google


By Editor

Keputusan pilihanraya di Semenyih menjadi tamparan hebat kepada kerajaan Pakatan Harapan dan kekalahan mereka juga menimbulkan beberapa soalan.

Adakah calon tidak sesuai, kurangnya strategi media atau rakyat hanya menghantar satu mesej?

Yang sudah pasti adalah kerajaan PH harus segera bangun dari tidur sekiranya tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal.

Penglibatan Datuk Seri Najib Razak dalam kempennya 'Malu apa Bossku' di media sosial terbukti berkesan apabila ditambah lagi dengan kurangnya kredibiliti daripada beberapa pemimpin PH.

Jika dilihat keseluruhan undi, Barisan Nasional memenangi kawasan di mana majoritinya adalah penduduk Melayu, berbeza dengan PH.

Najib melakar strategi yang bijak apabila meletakkan sasaran kepada pengundi Melayu yang sememangnya penduduk Semenyih.

Ditambah lagi dengan beberapa kempennya yang dilihat semakin hari semakin mendapat perhatian dan mempengaruhi para pengundi.

Manakala usaha dan taktik PH yang lemah dalam mengwar-warkan pencapaiannya turut menyumbang kepada kekalahan mereka.

Seorang ahli politik veteran berkata, tindakan PH membazir masa dengan meletakkan fokus terhadap mantan perdana menteri itu dan BN, telah mengundang bahaya kepada parti itu sendiri apabila keperluan rakyat dan ekonomi negara kurang diendahkan. 

"PH sepatutnya memberi perhatian kepada kejayaan mereka setelah mengambil alih negara dan bukannya membuang masa melayan apa sahaja yang dikatakan oleh Najib.

"Mereka seharusnya mengerti bahawa Najib tidak punyai apa-apa untuk digusarkan.

"Sebaliknya, PH perlu lebih berhati-hati dalam apa sahaja kenyataan yang dibuat," katanya. 

Seorang penganalisa politik menegaskan bahawa perkara utama yang perlu dilakukan oleh PH menjadi contoh perpaduan kepada rakyat.

"Para menteri perlulah bersepakat dalam mengeluarkan kenyataan dan jangan bercanggah antara satu sama lain.

"Kenyataan yang bercanggah memberi kesan yang besar apabila rakyat melihatnya sebagai kerajaan tiada muafakat dalam sesuatu perkara," katanya.

Para menteri juga perlu ada sistem komunikasi yang efektif di antara satu sama lain.

Mana tidaknya, timbul satu perkara dan menteri-menteri lain memberi kenyataan yang bercanggah.

Bagaimana rakyat mahu percaya?

Kenyataan media juga memain peranan yang penting.

Apabila sebuah isu timbul, seeloknya dibincang antara kementerian dan setelah itu segeralah keluarkan kenyataan media. Jangan hentam keromo saja. 

Sudah tiba masanya untuk para menteri menggunakan komunikasi strategik.

Usaha yang dilakukan seolah-olah oleh para menteri tidak membawa makna apabila kedudukan penting kementerian diduduki oleh orang yang tidak berpengalaman and "junior". 

Apa yang lebih mustahak sekarang adalah untuk PH mengetengahkan segala kejayaan yang telah dikecapi, lebih-lebih lagi janji manifesto.

Para pemimpin perlu mencapai kata sepakat dan tidak seharusnya bertentangan antara satu sama lain.

Setiap perkataan yang dikeluarkan dari mulut seorang menteri atau pemimpin mestilah sesuatu yang dirancang dengan teliti dan bukan sewenang-wenangnya.

Telah tiba juga masa untuk pemimpin-pemimpin ini berhenti berharap kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

Pemimpin perlu berhenti mengaitkan Tun dalam membuat semua keputusan dan setiap kali menghadapi masalah. 

Tun tidak boleh berada untuk mereka sepanjang masa. 

PH seharusnya menjadi lebih efektif dan individu yang tidak mendatangkan faedah dalam parti seeloknya digugurkan.

Penyebaran berita dan maklumat yang sangat lemah oleh PH juga perlu dikaji semula.

Mengikut sumber, satu lagi halangan utama PH adalah kurangnya kerjasama pegawai kerajaan yang tertentu.

Masih ramai penjawat awam berpihak kepada BN dan oleh kerana itu, banyak dasar yang dilakukan oleh PH tertunda dan ada beberapa yang tidak dilaksanakan sama sekali.

"Satu lagi yang perlu diberikan keutamaan adalah dalam meningkatkan penglibatan dalam media sosial. 

"Melabur banyak jika perlu... BN telah melakukannya dan jelas ia telah membayar dividen," kata seorang lagi ahli politik.

Di Semenyih, strategi media PH untuk calon mereka ternyata tidak mencukupi.

Malah, jadual calon tersebut gagal diberi kepada media sehingga hampir tengahari.

Berbeza dengan apa yang dilakukan oleh jentera BN apabila mereka bukan sahaja sentiasa mengemaskini dan memaklumkan pergerakkan calon, bahkan majlis-majlis BN yang lain turut dihebahkan.

PH sepatutnya sudah mula melatih calon berpotensi untuk mengatasi tekanan politik.

Mereka perlu dilatih untuk menangani soalan, rakyat, cara mengatasi masalah dan yang lebih penting mereka perlu dilihat bijak.

Rakyat tidak mahu pemimpin yang tidak berwibawa. 

Walau bagaimanapun, politik kini semua tentang persepsi.

Kalau dulu PH berjaya menakluk negara dalam PRU14 melalui persepsi, BN juga merampas semula kerusi dun Semenyih dengan persepsi.