Food truck overrated, harga cekik darah?


Food truck di Malaysia dikatakan mengenakan harga yang mahal - Gambar sekadar hiasan


By Nadhirah Sofea Rashid

Bila disebut food truck, gambaran yang ramai dapat adalah harga yang murah serta pelbagai jenis makanan. 

Ini lazim di luar negara dan apabila ia bermula di Malaysia, food truck dilihat sebagai memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah menikmati pelbagai jenis makanan pada harga yang murah.

Harga yang ditawar biasanya jauh lebih murah daripada makanan yang dijual di restoran.

Namun, ceritanya lain pula selepas lima tahun di Malaysia.

Kini, harga makanan food truck lazimnya lebih mahal daripada restoran biasa.

Bayangkan, sebiji burger dijual pada harga RM10 dan burger yang sama boleh didapati di stall burger tepi jalan pada harga yang lebih murah malah lebih sedap!

Berlainan dengan di luar negara, food truck selalunya akan bergerak ke tempat-tempat berlainan.

Namun tidak di Malaysia, kebanyakkan mereka kekal di satu tempat dan tidak bergerak ke tempat lain.

Netizen di Twitter turut menyuarakan rasa kesal dan kecewa terhadap budaya food truck yang diamalkan di Malaysia.

Rata-rata netizen tidak berpuas hati kerana harga yang dicaj tidak setimpal dengan makanan yang dihidang.

Tidak menjadi masalah sekiranya makanan yang dihidang menepati citarasa dan berbaloi dengan harga sebegitu mahal.

Namun, beberapa pemilik food truck berkata kos tapak, sewa truck dan lain-lain menyebabkan peniaga-peniaga meletakkan harga yang mahal.

Ditambah pula dengan persaingan yang begitu hangat diantara peniaga-peniaga.

Salah seorang peniaga food truck, Danial Marizd, berpendapat masalah harga mahal berlaku mungkin disebabkan desakan membayar balik ansuran pinjaman atau geran untuk memulakan bisnes food truck mereka.

Katanya, terdapat segelintir usahawan food truck yang perniagaannya kurang mendapat sambutan, mereka terpaksa menaikkan harga untuk membayar semula pinjaman.

“Tindakan mengaut untung mudah ini bukan menguntungkan usahawan, sebaliknya membuatkan perniagaan mereka bertambah teruk,” katanya.

Apa-apa pun jadilah pengguna dan peniaga yang bijak!

Peniaga sepatutnya lebih bijak dalam berniaga. Harga yang dicaj haruslah setimpal dengan makanan yang dijual.